Atlet negara harapan tuai pingat di Olimpik Tokyo

- Advertisement -

Oleh MOHD ZAINI OTHMAN

SUDAH pastinya gelaran itu menyuntik lagi semangat saya untuk merealisasikan impian negara memburu pingat emas pertama’ itu reaksi The Pocket Rocketman, Azizulhasni Awang apabila dikurniakan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) oleh Sultan Terengganu, Sultan Zainal Abidin yang membawa gelaran Datuk.

Menjadi atlet Olimpik pertama kelahiran Terengganu yang mendapat gelaran tersebut, anak muda kelahiran Dungun berusia 33 tahun ini sememangnya layak menerima pengiktirafan sebesar ini atas sumbangan dan kejayaan hebat beliau di pentas antarabangsa khususnya.

- Advertisement -

Penganugerahan ini secara tidak langsung menghargai jerih perih, titis peluh dan pengorbanan besar beliau selepas 15 tahun terbabit dalam sukan berbasikal. Antara kejayaan manis beliau hadiahkan buat negara adalah pingat gangsa acara keirin dalam temasya Olimpik Rio 2016 dan juara dunia keirin 2017.

Lumba basikal (trek) yang disertai oleh The Pocket Rocketman menjadi antara tiga prospek sukan selain badminton dan terjun yang menjadi sandaran negara untuk membawa menuai pingat di Sukan Olimpik Tokyo yang bermula Jumaat (23 Julai 2021).

Pastinya paling diharapkan adalah melalui acara ini akan menghadiahkan pingat emas pertama Olimpik yang sekian lama ditunggu Malaysia.

Azizulhasni atau Jijoe bukanlah atlet pertama yang ketika masih ‘berkhidmat’ menerima gelaran Datuk, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David memecah tradisi ini terlebih dahulu apabila menerima gelaran Datuk pada 2008.

Pada kelazimannya sebelum itu, atlet negara menerima penghormatan seumpama itu setelah mereka bersara. Malahan Lee Cong Wei dan Nicol David masing-masing menerima dan membawa gelaran Datuk ketika mereka masih muda iaitu berusia sekitar 25-26 tahun ketika itu.

Negara tidak ketandusan anak muda yang mempunyai keupayaan luar biasa dalam bidang sukan, selain Azizulhasni, seorang lagi atlet yang menambat hati rakyat Malaysia dan harapan emas di Olimpik Tokyo pastinya ratu terjun negara, Pandalela Rinong.

Pandalela berusia 28 tahun, anak kelahiran Sarawak ini menghadirkan keyakinan negara akan ‘ada keajaiban’ bakal diciptakannya di Tokyo setelah menjadi pemenang pingat emas tunggal Malaysia dalam Kejohanan Piala Dunia Terjun Fina di Jepun sebelum ini.

Rekodnya dalam acara ini cemerlang misalnya di Olimpik Rio 2016 beliau memenangai pingat perak dan gangsa di Olimpik London pada 2012.

Pandangan penulis tahap usia bukanlah ukuran tahap mana seseorang atlet itu boleh pergi jauh dalam acara sukan yang disertainya.

Dek kerana itu peminat sukan tanah air berasa tidak ‘selesa’ jika ada pihak yang menggunakan faktor umur yang dianggap masih muda sebagai alasan seseorang atlet negara belum sampai masanya untuk dipertimbangkan menerima gelaran seperti Datuk.

Hakikatnya melalui sistem kejurulatihan yang mantap, pendedahan yang meluas dalam pelbagai kejohanan dan disiplin tinggi atlet itu sendiri sebagai kunci utamanya, sudah terbukti di usia muda mereka sudah berada di puncak dunia.

Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik (USIM), Mohd Zaini Othman

Justeru penulis melihat usia bukanlah pra-syarat utama untuk seseorang atlet negara dicalonkan atau dianugerahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran, tetapi merit pencapaian itulah yang menjadi asas pertimbangan utamanya.

Tetapi sesuatu yang pasti buat atlet negara yang merangkul pingat di Olimpik Tokyo nanti, ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) bakal menjadi hadiah awal negara untuk mereka. Selamat berjuang, Demi Malaysia!

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadi penulis. – HARAKAHDAILY 21/7/2021

- Advertisement -