Pelancongan di Langkawi dijangka dibuka menjelang September

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

LANGKAWI:
Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Langkawi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) dijangka mampu membantu mencapai objektif imuniti berkelompok 80 peratus untuk membolehkan sektor pelancongan dibuka kepada orang ramai menjelang September ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, selain program khas bubble tourism anjuran bersama kerajaan negeri dan Persekutuan, PPV tersebut menggabungkan operasi vaksinasi kerajaan bersama pihak swasta.

- Advertisement -

“Saya ucapkan terima kasih kepada Pasukan Khas Imunisasi Covid-19 (CIFT) yang diketuai Pegawai Daerah Langkawi, Saiful Anwar Azmi dan semua agensi yang terlibat mengurus dan menjayakan vaksinasi di PPV ini,” kata beliau pada sidang media selepas lawatannya ke PPV berkenaan kelmarin.

Ujarnya dengan kemampuan 3,000 penerima dos suntikan setiap hari ia membantu mempercepatkan proses imunisasi supaya matlamat kerajaan tercapai.

“Dengan kemampuan PPV sedia ada termasuk PPV secara ‘outreach’ di Pulau Tuba di jangka 74,000 penduduk Langkawi akan menerima vaksin Covid-19 dalam tempoh 40 hari,” katanya.

Lawatan ke PPV itu turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Sri Nancy Shukri serta Exco Pelancongan Kedah Firdaus Ahmad.

Berikutan itu kata menteri besar dalam usaha memastikan rakyat Langkawi lengkap mendapat dua dos vaksin, Kerajaan Persekutuan wajar menyediakan prosedur operasi standard (SOP) tertentu terhadap kanak-kanak dan remaja di bawah 18 tahun.

“Kebanyakan pelancong dalam negara datang melancong bersama keluarga, jadi kena fikirkan apakah SOP kepada yang di bawah umur 18 tahun serta kanak-kanak untuk ke pulau tercantik di dunia ini,” tambah Sanusi.

Sementara katanya, 80 peratus penduduk Langkawi telah mendaftar sebagai menerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera dan menjadikan ia daerah tertinggi di Kedah, di mana seramai 74,400 daripada 111,500 jumlah penduduk layak menerima imunisasi berkenaaan.

Sehingga 12 Julai 2021, seramai 61,313 telah menerima dos pertama manakala 20,465 selesai disuntik dos kedua. Ini bermakna 30 peratus daripada jumlah yang mendaftar lengkap menerima kedua-dua dos vaksin terbabit sehingga kini. – HARAKAHDAILY 18/7/2021

- Advertisement -