MAFI ambil langkah elak ternakan dijangkiti LSD

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memastikan tiada kemasukan lembu dari Kedah ke Kelantan dalam usaha mencegah penularan penyakit kulit kental atau Lumpy Skin Disease (LSD) yang menjangkiti haiwan ternakan.

- Advertisement -

Timbalan Menteri MAFI II, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, pihaknya telah menyedari perkara itu sejak awal dan telah mengambil langkah mengawal kemasukan bagi mencegah penyakit LSD.

“Saya difahamkan tidak ada lembu akan dibawa masuk dari Kedah ke Kelantan dan ini merupakan satu langkah bagi mengawal penyebaran penyakit LSD. Jadi peternak tidak perlu bimbang sebab pihak kerajaan telah ambil langkah awal bagi mengawal perkara ini.

“Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) sentiasa berwaspada dan peka terhadap isu penularan penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) yang menjadi kegusaran penternak-penternak di dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas selesai melakukan lawatan kerja di Stesen Kuarantin MAQIS Rantau Panjang, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama katanya, MAFI melalui MAQIS akan terus mempertingkatkan kawalan dan penguatkuasaan di sempadan khususnya di pintu masuk negara bagi memastikan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian serta penternakan negara dapat dibendung serta dikawal.

“Pada bulan Mei yang lalu, MAQIS Kelantan turut mengesan dan mengesyaki terdapat 14 daripada 235 ekor lembu yang diimport dari Thailand mempunyai tanda-tanda penyakit LSD semasa dalam tempoh kuarantin.

“MAQIS juga telah membuat pemantauan rapi ke atas kesemua lembu-lembu tersebut dengan kerjasama pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) bagi mengawal serta mengelak penyakit tersebut merebak dan menjejaskan industri ternakan lembu khususnya di Kelantan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/7/2021

- Advertisement -