Nilai situasi dengan hikmah dan ilmu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS Negeri Selangor (DUPNS) menyeru rakyat Malaysia berhati-hati serta menilai situasi semasa, termasuk situasi yang dihadapi negara dengan hikmah dan ilmu yang bermanfaat.

- Advertisement -

Menurut Pemangku Ketuanya, Ustaz Nushi Mahfoz, situasi yang dihadapi kerajaan Malaysia dalam berdepan pandemik Covid-19 bukan sesuatu yang mudah, bahkan negara lain juga sedang berusaha membendung penularan wabak itu yang kini mempunyai pelbagai jenis varian.

“Saya menyokong kenyataan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mengatakan, kerajaan PN telah menggerakkan kakitangan kesihatan, pasukan keselamatan dan lain-lain bagi berdepan situasi ini.

“Kerajaan juga bertindak melakukan kawalan atau sekatan tanpa mematikan keseluruhan kegiatan ekonomi. Ini bagi memelihara keperluan asasi rakyat dan negara.

“Malah, kerajaan juga menyediakan peruntukan bantuan yang besar untuk disalur secara terus kepada mereka yang memerlukan dalam saat darurat ini,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, semalam.

Justeru itu, beliau berpendapat bahawa semua pihak wajar membantu kerajaan mendepani situasi itu tanpa berterusan menuding jari kepada sebarang pihak dan memburukkan lagi situasi yang ada.

Di samping itu, beliau turut menzahirkan rasa syukur di atas keprihatinan kerajaan setakat ini.

Beliau turut percaya sikap saling menuding tidak membantu suasana semasa rakyat yang semakin muak dengan sikap mempolitik semua perkara.

Tambahnya, mendepani Covid-19 bukan hanya tugas kerajaan, kakitangan kesihatan, keselamatan dan barisan hadapan sahaja, ia bahkan turut menjadi tugas setiap individu yang bernyawa dengan memastikan diri sendiri, keluarga dan persekitaran bebas daripada jangkitan.

“Amalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, jaga jarak, duduk rumah dan kurangkan pergerakan di luar rumah, serta jangan lupa berdoa supaya kita dihindari dan dijauhi wabak itu,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 17/7/2021

- Advertisement -