RCI akan tingkat semula reputasi TH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cadangan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (LTH) diharap akan menaikkan semula reputasi syarikat konglomerat kewangan Islam utama di Malaysia dan global, kata Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris.

Beliau yang juga Pengerusi Kaukus Kesejahteraaan Rakyat Dewan Negara itu berkata, menerusi RCI, LTH dijangka akan memulihkan semula imejnya dan membina kembali identiti pengiktirafan dunia sebagai contoh pengurusan haji dan perkhidmatan kewangan Islam yang inovatif dalam kalangan negara Islam.

- Advertisement -

“Dalam hal ini, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara yakin siasatan RCI kelak membolehkan LTH yang mempunyai lebih 50 tahun pengalaman dalam deposit, perkhidmatan dan operasi Haji serta pelaburan dana, akan memberi pulangan kepercayaan yang diyakini kepada lebih 10 juta pendeposit.

“Pendeposit mempunyai hak mutlak menerusi RCI untuk mendapatkan kebenaran dan maklumat tepat berhubung tadbir-urus, integriti dan operasi yang berlaku antara 2014 hingga 2020,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru itu, beliau mencadangkan keanggotaan RCI perlu turut disenarai-lantik dalam kalangan Ahli Dewan Negara sebagai penggubal undang-undang di dewan tertinggi perundangan negara yang membangkitkan sesuatu isu demi kesejahteraan rakyat dalam banyak perkara terutama kepentingan bersama dan masa depan.

Pada 14 Julai, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan akan menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai LTH.

Katanya, perkara itu dipersetujui mesyuarat Jemaah Menteri susulan isu-isu berbangkit yang timbul hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers, Ernst & Young dan Roland Berger dari 2014 hingga 2020.

Dalam perkembangan sama, LTH memaklumkan bahawa pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada RCI bagi isu-isu berbangkit itu. – HARAKAHDAILY 16/7/2021

- Advertisement -