
Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu komited menjayakan agenda besar ke arah penyatuan ummah yang dimeterai bersama Umno atas gagasan Muafakat Nasional (MN).
Bendahari PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, Muafakat Nasional merupakan salah satu agenda besar Penyatuan Ummah selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.
Menurutnya, selepas PRU14 kerajaan PAS Terengganu memerintah negeri dan pembentukan MN merupakan agenda masa depan yang perlu diteruskan.
“Setelah PAS mendapat mandat daripada rakyat PRU14 lepas. Oleh itu, pembentukan kerajaan dan penyusunan pentadbirannya yang berlaku ketika itu adalah selaras dengan mandat rakyat pada ketika itu.
“Walaupun demikian, agenda MN merupakan agenda masa depan yang perlu diteruskan bagi membina Penyatuan Ummah dan mengembalikan kekuatan politiknya demi negara dan juga negeri.
“Bahkan, pembentukan Perikatan Nasional (PN) merupakan agenda untuk memperluaskan dan pengukuhan Penyatuan Ummah,” tegasnya kepada Harakahdaily, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung menjelaskan, semua pihak wajar bersama dalam usaha penyatuan ini dengan hati yang lapang demi masa depan ummah.
Katanya, sebarang unsur yang bersifat negatif serta boleh menimbulkan perpecahan dalam masyarakat Islam perlu dihindari.
“Suka saya ingatkan, usah dilayan malah perlu diabaikan sikap-sikap negatif yang menghalang usaha murni ini dan yang boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam.
“Usaha penyatuan (MN) ini memerlukan pengorbanan yang besar, keikhlasan dan kesediaan dari semua pihak untuk mengharungi rintangan yang berbagai-bagai dalam menjayakan misi besar untuk kepentingan negeri, negara, ummah dan rakyat,” jelasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu.
Mengikut rekod, PAS dan Umno pernah menandatangani Piagam Muafakat Nasional di Himpunan Penyatuan Ummah (HPU9114), Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September 2019.
Hadir sama ketika itu, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bersama pemimpin dan penyokong kedua-dua parti berkenaan. – HARAKAHDAILY 16/7/2021











