Dewan Ulamak tegas, konsisten tolak iktiraf UEC

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: PAS menyatakan rasa kecewa dengan pengiktirafan Unified Examination Certificate Unified (UEC) dalam syarat kelayakan untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Fasa 2 dan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan bagi tahun 2021.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Ustaz Mohd Nor Hamzah, PAS telah menyuarakan bantahan keras terhadap pengiktirafan UEC sejak tahun 2018 iaitu pada waktu Pakatan Harapan (PH) memegang tampuk kepimpinan negara.

“Tindakan KPM untuk menerima lepasan UEC untuk memohon pengambilan ijazah perguruan kali ini telah memberi gambaran seolah-olah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai oleh PAS telah memberi pengiktirafan secara rasmi kepada sijil ini.

- Advertisement -

“Seperti mana bantahan yang telah dibuat pada tahun 2018, PAS bertegas untuk tidak bersetuju terhadap pengiktirafan terhadap sijil ini kerana ia bercanggah dengan pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996.

“Pelaksanaan sistem sijil tersebut sama ada daripada aspek piawaian, silibus dan bahasa jelas tidak selari dengan status quo sistem pendidikan yang diamalkan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Mengulas lanjut katanya, pengiktirafan UEC ini turut memberi impak yang sangat mendalam kerana ia seolah-olah memberi satu autonomi yang sangat luas dalam bidang pendidikan untuk tidak patuh kepada dasar dan akta sedia ada sebaliknya berorientasikan pendidikan dari negara Taiwan dan China.

Mengikut rekod, kerajaan terdahulu di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2012 telah memutuskan untuk menerima lepasan UEC bagi mengikuti program PISMP dalam bidang bahasa Cina dengan syarat mereka lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memperolehi sekurang-kurangnya gred kepujian dalam bahasa Melayu.

“Saya menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia yang dipimpin oleh Dato’ Radzi Jidin selaku Menteri Pendidikan untuk bertegas dalam isu sensitif ini dengan memastikan lepasan sijil UEC tidak dibenarkan untuk diterima masuk mana-mana pengambilan yang melibatkan jurusan perguruan,” katanya.

Ini kerana tambahnya, pengambilan lepasan sijil untuk program jurusan perguruan akan memberi gambaran kepada umum bahawa Kerajaan PN telah mengiktiraf UEC dan seterusnya akan merenggangkan semangat perpaduan dan keharmonian kaum di Malaysia. – HARAKAHDAILY 16/7/2021

- Advertisement -