Solidariti jemaah menteri terhadap PM dihargai

- Advertisement -

Oleh MS MUSAIFUL

BAGAN DATUK:
Pemimpin politik hendaklah menggunakan kedudukan mereka bagi membantu kerajaan menangani peningkatan kes pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan sekarang.

Ketua Dewan Pemuda PAS Bagan Datuk, Mohamad Khairi Abdullah berkata, jangan pula ada pemimpin mengheret rakyat ke kancah krisis politik ketika pandemik masih menular sekarang.

Katanya pemimpin tidak kira mewakili parti mana sekali pun hendaklah membantu kerajaan bagi menangani penularan wabak pandemik Covid-19 sehingga kes harian Covid-19 melebihi 11,000 sehari dua ini.

- Advertisement -

“Kestabilan politik dan ekonomi sekarang sangat penting bagi memastikan tiada perkara yang boleh menggangu usaha kerajaan menangani penularan wabak.

“Pemimpin politik jangan pula mengambil kesempatan mengamalkan budaya politik sehingga merugikan rakyat dan negara,” katanya di sini.

Oleh itu beliau menghargai tindakan solidariti seluruh jemaah menteri sebulat suara memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri (PM) Malaysia.

Semalam, media melaporkan jemaah menteri dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dicapai dalam mesyuarat kabinet hari ini.

Menurut kenyataan itu keutamaan kerajaan sekarang untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara serta membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19.

“Pelan Pemulihan Negara yang dibentangkan kerajaan berdasarkan tiga indikator utama dan berfasa dilihat sebagai usaha tepat sesuai dengan keadaan dan realiti,” katanya.

Pada perkembangan lain semalam Mohamad Khairi menziarahi veteran PAS Mokhtar Shamsudin di Kampung Sungai Betul yang beberapa minggu lepas dipotong sebelah kaki akibat jangkitan kuman.

Turut hadir ahli jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Bagan Datuk, Lokman Hakim Mohamad Juni dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Betul, Muhammad Syaffil Kamaruzzaman.

Sementara itu dalam perkembangan lain PAS DUN Hutan Melintang menyampaikan sumbangan bantuan kepada guru-guru PASTI yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Seramai enam guru PASTI menerima sumbangan itu. Sumbangan disampaikan Pengarah Jentera Pilihan Raya DUN Hutan Melintang, Muhammad Haidzir Ajid. Hadir sama Setiausaha PASTI Bagan Datuk, Mustaid Saifuddin.

Muhammad Haidzir berkata, guru-guru PASTI yang terjejas perlu dibantu sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka sebelum ini. – HARAKAHDAILY 15/7/2021

- Advertisement -