KUALA KRAI: Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman mengambil peluang turun ke Kuala Nal untuk Program Outreach Suntikan Vaksin, kelmarin.
Menurutnya, program seumpama itu adalah yang keempat dilaksanakan di Kuala Krai.
“Alhamdulilah sebanyak 555 suntikan dos pertama dan 25 dos suntikan secara mobile dapat diselesaikan untuk penduduk Kuala Nal, Pasir Era, Lepan Pauh, Bedal dan Bukit Sireh,” ujarnya yang turut disertai bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkebang, Muhammad Mat Sulaiman.
Katanya, keseluruhan suntikan di seluruh Kuala Krai setakat hari itu ialah 43,856 dos iaitu sebanyak 24,663 dos pertama manakala 19,193 untuk dos kedua.
“Insya-Allah saya berkeyakinan tinggi Parlimen Kuala Krai akan mencapai imuniti berkelompok sebagaimana sasaran yang dibuat oleh pihak kerajaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dengan program berkenaan. – HARAKAHDAILY 15/7/2021