Amalan soleh mukmin di bulan Zulhijjah

- Advertisement -

MANUSIA mempunyai instinct (Naluri) untuk bersaing, Ini adalah satu perasaan semula jadi yang baik, yang bagus dan hebat. Naluri inilah menjadikan dunia lebih indah. Manusia bergerak dan hidup untuk melengkapkan kehendak dan keperluan masing-masing. Rasa persaingan inilah akan menjadikan manusia bergerak hidup untuk lebih maju ke depan dalam apa jua bidang yang dilakukannya atau yang diusahakannya.

Mereka akan memikirkan untuk membuat sesuatu yang lebih canggih dan mudah untuk kehidupan masa depan mereka. Tetapi sayang, daya bersaing ini hanya terbatas kepada hal dunia sahaja, untuk sesuatu yang remeh, yang tidak lebih dari satu sayap nyamuk dan untuk sesuatu yang fana yang akan kita tinggalkan. Kita lupa untuk berdaya saing dalam perkara yang kekal dan abadi, syurga dan ampunan Allah S.W.T.

- Advertisement -

Allah S.W.T telah berfirman mengenai perkara-perkara yang seharusnya kita berlumba-lumba melaksanakannya dan sesuatu yang kita seharusnya bersaing:

“Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

(al-Baqarah: 148)

Allah S.W.T perintahkan manusia berlumba-lumba melakukan kebaikan. Orang yang terbaik adalah orang yang memberi manfaat untuk orang lain bukan yang mengambil manfaat dari orang lain:

“Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada di dalam Syurga yang penuh nikmat.”

“Mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), sambil melihat (segala keindahan dan kemuliaan yang disediakan untuk mereka di situ).”

“Engkau dapat melihat pada muka mereka: cahaya nikmat yang mereka perolehi.”

“Mereka diberi minum dari satu minuman yang termeterai bekasnya,”

“Meterainya kasturi; – dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan.”

“Dan campuran minuman itu adalah dari ‘Tasnim’”

“laitu mata air yang diminum daripadanya oleh orang-orang yang didampingkan (Tuhan di sisiNya).”

(al-Mutafifin: 22-28)

Allah S.W.T menceritakan mengenai, di mana ditempatkan orang-orang yang baik. Dunia adalah negeri untuk beramal, untuk berbuat kebajikan dan untuk beribadah kepada Allah S.W.T. Orang-orang yang aliran hidupnya atau kegiatan hidupnya dunia, kadang-kadang dia tidak tertarik untuk menjadi orang yang baik bahkan tidak tertarik untuk mendirikan solat 5 waktu malah mereka memperlekehkan orang yang rajin beribadah ke masjid.

Sebab bagi pandangan mereka, ahli masjid hanya membuang-buang masa tanpa mempergunakan masa yang ada untuk mencari sesuatu atau menghimpun kekayaan dan kesenangan yang zahir. Sebab itu Allah S.W.T jelaskan bahawa satu hari nanti dunia akan hancur dan kita sedang menyaksikan sekarang dunia perlahan-lahan semakin hancur dengan kematian demi kematian, wabak demi wabak dan bencana demi bencana yang menimpa dunia sekarang ini dari pelbagai sudut.

Hakikatnya, setiap manusia kena berbuat baik untuk dirinya sendiri dan memberi manfaat untuk orang lain. Mengambil peluang mencari waktu-waktu yang sangat istimewa seperti baru-baru ini kita bersungguh-sungguh mengkaji keistimewaan bulan Ramadan, dan sekarang kita sedang berhadapan dengan 10 hari pertama Zulhijjah. Apa sebenarnya keistimewaan 10 hari pertama Zulhijjah ini? Kenapa hari-hari ini tidak berapa dikenali seperti hari-hari di bulan Ramadan? Kenapa manusia hanya memeriahkan sambutan Aidil Fitri berbanding Aidil Adha? Sedangkan 10 hari pertama Zulhijjah dan Aidil Adha ini sangat istimewa di sisi Allah S.W.T. 

Jadi, mengkaji dan mempelajari mengenai keistimewaan 10 hari pertama Zulhijjah ini sangat penting agar kita dapat memanfaatkan hari-hari ini dengan amalan-amalan soleh yang terbaik termasuk juga berbakti kepada orang tua, menghubungkan silaturrahim, berdakwah dan menuntut ilmu.

Nabi S.A.W bersabda mengenai keistimewaan hari-hari ini. Hadis dari Ibn Abbas R.A, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Tidak ada hari di mana suatu amal soleh yang sangat dicintai Allah S.W.T melebihi amal soleh yang dilakukan di sepuluh hari ini (10 hari pertama Zulhijjah-pen)” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, termasuk lebih utama dari dari jihad fi sabilillah?” Nabi S.A.W menjawab, “Termasuk lebih utama dibanding jihad fi sabilillah, kecuali orang yang keluar dengan jiwa dan hartanya (ke medan jihad) dan tidak ada satu pun yang kembali (mati dan hartanya diambil musuh-pen).”

(Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari dan Tirmizi)

Sahabat hairan bila Nabi S.A.W menyatakan yang hari-hari ini lebih baik dari jihad sedangkan semua tahu bahawa jihad itu amalan tertinggi menegakkan kalimah Allah S.W.T. Orang sanggup mengorbankan jiwa dan raganya serta harta dan keluarganya untuk jihad. Jadi jihad fi sabilillah tidak dapat menandingi kehebatan 10 hari pertama Zulhijjah ini kecuali di satu keadaankecuali orang yang keluar dengan jiwa dan hartanya (ke medan jihad) dan tidak ada satu pun yang kembali (mati). Tapi yang ini tidak tertanding.

Mungkin ada di kalangan kita tidak boleh membayangkan kehebatan antara kedua amalan ini:

“Dari Abu Hurairah menyebutkan, “Seorang laki-laki datang menemui Rasulullah S.A.W dan berkata, “Ya Rasulullah, tunjukkan kepadaku satu amal yang menyamai jihad? Beliau menjawab, “Aku tidak mendapatkannya” Beliau bersabda lagi, “Apakah kamu sanggup, apabila seorang mujahid keluar berjihad lalu kamu masuk ke dalam masjidmu kemudian kamu solat tanpa berhenti dan berpuasa tanpa berbuka? Ia menjawab, “Siapa yang sanggup melakukan itu wahai Rasulullah?””

Jadi secara amalan tiada siapa yang mampu tetapi ternyata ada waktu yang beramal soleh pada masa itu dapat menandingi jihad. Bila? Pada 10 hari pertama Zulhijjah dan cuma dalam satu keadaan sahaja yang tidak tertandingi, iaitu orang yang syahid dan semua harta dan miliknya habis di rampas musuh. Bayangkan betapa indahnya 10 hari pertama Zulhijjah ini tetapi kita di mana? Apakah di usia kita yang ada sekarang ini kita pernah berlumba-lumba memenuhi 10 hari pertama Zulhijjah ini dengan amalan-amalan soleh dan memberi sambutan hangat seperti menyambut Ramadan?

Amalan-amalannya, seperti amalan soleh yang biasa kita lakukan cuma ianya di lakukan di hari-hari yang mulia yang dapat menandingai amalan jihad fi sabilillah. Semua amalan tanpa kecuali dilipat gandakan balasannya di sisi Allah S.W.T. Ini adalah peluang kita untuk melakukan sesuatu yang terbaik.

Apa yang harus kita lakukan

Memperbaharui taubat setelah berlalunya Ramadan.

Sebagaimana Hadis Nabi S.A.W yang bermaksud:

“Wahai sekalian manusia. Taubatlah (Beristighfar) kalian kepada Allah kerana Aku selalu bertaubat kepada Allah dalam sehari sebanyak 100 kali.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Kuatkan tekad kita. Kita maklum COVID-19 tidak boleh dilawan dengan vaksin. Tetapi vaksin hanya sekadar dapat mengurangkan risiko sahaja sebab yang sudah divaksin pun masih terdedah dengan COVID-19. Jadi kita tekad di hati, untuk mentaati Allah S.W.T dan mengambil peluang sempena 10 hari pertama Zulhijjah ini untuk memenuhinya dengan melakukan amalan soleh dan menghindari serta berhenti dari berbuat dosa dan maksiat. 

Amalan-amalan soleh di 10 hari pertama Zulhijjah

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.”

(Ali-Imran: 31)

Bulan Zulhijjah sebagai salah satu bulan haram yang mempunyai keistimewaan, salah satunya ialah pada 10 hari pertama Zulhijjah. 

Dari Ibnu Umar R.A, dari Nabi S.A.W bersabda yang maksudnya:

“Tidak ada hari-hari yang lebih agung di sisi Allah S.W.T dan amal soleh di dalamnya lebih dicintai oleh-Nya daripada hari yang sepuluh (10 hari pertama Zulhijjah).”

(Hadis Riwayat Ahmad dan disahihkan Syaikh Ahmad Syakir)

1. Umrah dan Haji.

Pada bulan Zulhijjah ini, kebanyakan masyarakat mengenalinya dengan bulan Haji kerana pada tarikh 9 Zulhijjah, kaum Muslimin yang beribadah Haji melaksanakan wukuf di Arafah sementara yang tidak melaksanakan ibadah Haji melaksanakan puasa sunah Arafah.

Firman Allah yang bermaksud: 

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”

“Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.”

(al-Hajj: 27-28)

Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Haji yang mabrur tiada balasan baginya kecuali syurga.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Jadi apa harus kita lakukan dalam suasana sudah dua tahun, Kerajaan Malaysia tidak membenarkan Haji dalam jumlah yang ramai kerana bencana COVID-19 ini. Maka perbanyakkanlah berzikir kepada Allah S.W.T dan melakukan amalan-amalan soleh yang lain. Bagi sesiapa yang belum pernah menunaikan Haji dan Umrah, berniatlah untuk menunaikannya dan buatlah persediaan mengumpul wang ringgit untuk perbelanjaan ke sana dan untuk orang yang ditinggalkan.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud: 

“(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).” 

(Al-Baqarah: 197)

2. Puasa.

Puasa adalah satu ibadah yang dapat meningkatkan ketakwaan kepada Allah S.W.T, dapat membentuk jati diri atau akhlak peribadi yang mulia, melahirkan rasa empati di jiwa seorang Muslim terhadap kesusahan nasib orang yang kekurangan makanan dan puasa juga sebagai perisai yang menyelamatkan hamba daripada api neraka dan menyelamatkannya daripada perbuatan dosa dan maksiat. Sekarang kita sudah berada di 10 hari pertama bulan Zulhijjah, bulan yang penuh kemuliaan, maka jangan sia-siakan peluang ini untuk berbuat sesuatu amalan terbaik.

Dari Abu Qatadah, dia berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya:

“Puasa Arafah (9 Zulhijjah), dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang. Puasa Asyuro (10 Muharram) akan menghapuskan dosa setahun yang lalu.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Nabi S.A.W menganjurkan kita berpuasa di hari Arafah dan mengamalkan amalan soleh. Puasa itu hanya sunah, kalau tidak berpuasa pun tidak apa tetapi sangat sayang di ketika kita tahu besarnya fadilatnya berpuasa di 10 hari pertama Zulhijjah, iaitu dilipat gandakan balasannya oleh Allah S.W.T. Puasa yang dianjurkan 1 hingga 9 Zulhijjah sahaja kerana pada 10 Zulhijjah haram berpuasa, hari raya Aidil Adha.

Bagi sesiapa yang tidak berpuasa kerana uzur, kalian boleh memberi makan kepada orang yang berpuasa kerana fadilat memberi makan berbuka kepada orang yang berpuasa ada dinyatakan dalam Hadis di bawah:

Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya:

“Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun juga.”

(Hadis Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad)

3. Solat.

Perbanyakkan solat, khususnya solat malam kerana solat malam sangat mulia di sisi Allah S.W.T dan Allah S.W.T meningkatkan darjat orang yang melaksanakannya:

Dari Abu Hurairah R.A, ia berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya, “…Solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Penghuni syurga itu ketika hidup di dunia mereka sedikit tidurnya. Mereka menghidupkan malamnya dengan solat. Jadi ambillah kesempatan di hari-hari yang paling indah yang dicintai Allah ini, kita laksanakan solat malam. 

Pesan Jibril kepada Nabi S.A.W, “Ketahuilah bahawa sesungguhnya kemuliaan seorang Mukmin itu terletak pada qiamulailnya dan kehebatannya apabila ia tidak bergantung kepada orang lain tetapi hanya kepada Allah S.W.T.”

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“… Wahai orang yang berselimut!.”

“Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),”

(Az-Muzammil: 1-2)

Said bin Jubair Rahimahullah seorang Tabi’in, muridnya Abdullah bin Abbas yang meriwayatkan Hadis mengenai keutamaan amalan di 10 awal Zulhijjah. Dia kalau masuk 10 awal Zulhijjah, beliau bersungguh-sungguh beramal sehingga hampir-hampir tidak mampu melakukannya. Dan dia pernah berkata, “Jangan kalian matikan lampu-lampu kalian pada malam 10 awal Zulhijjah kerana amalan di waktu ini sangat dicintai Allah S.W.T.”

Jadi kita di samping solat malam boleh iktikaf seperti dilakukan pada 10 malam terakhir Ramadan. Jadi kepada ibu bapa berilah peringatan kepada anak-anak dan ahli keluarga yang lain mengenai hal ini. Ahli-ahli keluarga kita perlukan pembiasaan dalam beramal, kalau bukan kita orang tuannya yang mengajak mereka, siapa lagi yang kita hendak harapkan untuk mendidik ahli keluarga kita.

4. Memperbanyakkan zikir.

Perbanyakkan zikir terutamanya takbir, bertahmid, bertahlil, tasbih, istighfar, berdoa. Kita tidak mengerjakan Haji jadi perbanyakkan amalan kita dengan zikir. Tidak dianjurkan pada bulan Zulhijjah sahaja tetapi juga dibiasakan pada seharian hidup kita.

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa, ‘talbiah’ dan tasbih) di tempat Masy’ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.”

“Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia”. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.”

(al-Baqarah: 198-200)

Jadi lihatlah di sini bagaimana perintah Allah S.W.T untuk berzikir. Arafah hari berdoa, hari berzikir dan ingatlah Allah S.W.T semasa di Muzdalifah, sebagaimana Allah S.W.T telah memberikan hidayah kepada kalian. Dan dah sampai ke Mina pun disuruh istighfar lagi. Kemudian apabila sudah selesai mengerjakan Manasik Haji, ingatlah Allah S.W.T sebagaimana kalian mengingat nenek moyang kalian malah lebih dari itu. Jadi amalan yang paling indah itu adalah zikir, jadi perbanyakkan lah zikir kerana kita tidak mengerjakan Haji dan berlebihanlah lagi bagi mereka yang sedang mengerjakan Haji.

Dalam sebuah Hadis Muadz bin Anas al-Juhani R.A dari Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya:

“Seorang bertanya kepada beliau S.A.W seraya berkata, “Mujahidin mana yang paling besar pahalanya wahai Rasulullah? Beliau menjawab, “Yang paling banyak zikirnya” Ia bertanya lagi, “Orang yang berpuasa yang paling banyak pahalanya? Beliau S.A.W menjawab, “Yang paling banyak zikirnya” Kemudian orang tersebut menyebutkan solat, zakat, haji dan sedekah kepada Rasulullah S.A.W dan Beliau S.A.W menjawab semuanya dengan sabdanya, “Yang paling banyak zikirnya” Maka Abu Bakar berkata kepada Umar R.A, “Orang-orang yang selalu mengingat Allah S.W.T membawa semua kebaikan” maka Rasulullah S.A.W menjawab, “Ya”.”

(Hadis Riwayat Ahmad dalam al-musnad dan At-Tabrani dalam al-Mu’jam al-Kabir)

Namun di 10 hari pertama Zulhijjah ini ada zikir khusus, di mana Nabi S.A.W telah bersabda yang maksudnya:

“Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah dan tidak ada hari yang lebih dicintai oleh Allah supaya kita beramal di dalamnya melainkan pada 10 hari ini. Maka perbanyakkanlah bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”

(Hadis Riwayat Al Tabrani)

Al-Bukhari juga berkata, “Dulu Sahabat Abdullah bin Umar Al-Kattab dan Abu Hurairah R.A keluar ke pasar pada 10 hari pertama Zulhijjah seraya bertakbir dan umat manusia pun bertakbir kerana takbir beliau berdua.”

Kemudian ada takbir muqayyat (terikat), takbir yang dibaca ketika setiap selesai solat fardu, dimulai sejak solat Subuh hari Arafah sehingga solat Asar hari Tasyriq yang terakhir. Selain itu takbir muthlaq (tidak terikat) yang dilakukan pada semua waktu sejak masuknya bulan Zulhijjah sampai akhir hari Tasyriq.

5. Sedekah.

Kita semua maklum betapa besarnya pahala sedekah dan sedekah boleh kita kerjakan sepanjang masa dari awal 10 hari pertama Zulhijjah dan pada bila-bila masa sahaja. Motivasi bersedekah ini dapat kita ambil dari ayat di bawah agar kita tidak akan hidup dalam penyesalan yang berpanjangan:

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ” Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh.”

(al-Munafikun: 10)

6. Berkorban.

Kemuncaknya nanti berkorban di hari 10 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah. Di setiap umat itu ada syariat menyembelih, sedekah itu bukan menyembelih atau berkorban kerana dagingnya kita boleh ambil, makan dan simpan sedangkan sedekah itu kita bagi kepada orang lain. Umat Islam berlumba-lumba menyimpan sebahagian hartanya untuk membeli unta, lembu atau kambing untuk disembelih setelah solat Aidil Adha dan hari Tasyrik.

Dan Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud: 

“Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

(Al Khausar: 2)

Nabi S.A.W telah bersabda dengan maksudnya:

“Barang siapa yang mempunyai kelebihan harta untuk berkorban, namun dia tidak berkorban, maka janganlah ia mendekati tempat solat kami.”

(Hadis Riwayat Ibnu Majah, Ahmad dan Al-Hakim)

Sebab itu sebahagian ulamak mewajibkan kepada mereka yang mampu. Soal mampu ini berbeza-beza mengikut keadaan dan tempat. Tetapi kalau kalian ada kemampuan belilah haiwan korban yang terbaik, tergemuk, terindah dan yang termahal. 

Firman Allah S.W.T  yang bermaksud:

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.”

(Al Hajj: 37)

Bagi mereka yang sudah berniat untuk berkorban, dari awal Zulhijjah sudah disunahkan tidak memotong kuku, rambut dan bulu-bulu yang ada di badan sampai binatang korbannya disembelih.

7. Hari Arafah.

Pada 9 Zulhijjah, jamaah Haji Wuquf di Arafah. Tapi kita masih dapat merasakannya dengan memperbanyakkan zikir. Sebab pada hari itu, Allah S.W.T banyak membebaskan orang dari api neraka. Dan Allah S.W.T berbangga-banggaan dengan hamba-hamba-Nya.

8. Bertaubat (tidak bermaksiat).

Perintah bertaubat dan berazam serta menyesal tidak akan melakukan maksiat sudah menjadi kewajipan kita sebagai umat Islam untuk melaksanakan perintah tersebut. Namun seluruh umat Islam juga diseru agar bertaubat dari berbagai dosa dan maksiat di awal Zulhijjah. Maka kita mengambil peluang ini menyibukkan diri dengan amalan soleh dan meninggalkan kezaliman sesama manusia.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu terhadap orang-orang yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilan, kemudian mereka bertaubat sesudah itu serta memperbaiki amalannya, sesungguhnya Tuhanmu sesudah (mereka bertaubat) itu, adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(An-Nahl: 119)

Kesimpulan

Keistimewaan 10 hari pertama Zulhijjah sangatlah besar dan hebat. Amalan soleh yang dikerjakan sangat teristimewa dan dicintai Allah S.W.T serta dilipat gandakan pahalanya yang mana hal itu menjadi nikmat dan anugerah daripada Allah S.W.T kepada hamba-Nya. Maka kita wajib bersyukur dan ingat kepada-Nya serta bersungguh-sungguh bersemangat meningkatkan ketaatan kita kepada-Nya. Bukanlah seperti yang di sebutkan di atas sahaja amalan soleh yang di tuntut kita melakukannya tetapi semua termasuk juga membaca Quran, berdakwah, berziarah, belajar, berjuang dan lain-lain.

Wallahu ‘lam.

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 15/7/2021

- Advertisement -