Merantaulah kerana ia sebahagian daripada proses ilmu

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

وَٱللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنۢ بُیُوتِكُمۡ سَكَنࣰا وَجَعَلَ لَكُم مِّن جُلُودِ ٱلۡأَنۡعَـٰمِ بُیُوتࣰا تَسۡتَخِفُّونَهَا یَوۡمَ ظَعۡنِكُمۡ وَیَوۡمَ إِقَامَتِكُمۡ وَمِنۡ أَصۡوَافِهَا وَأَوۡبَارِهَا وَأَشۡعَارِهَاۤ أَثَـٰثࣰا وَمَتَـٰعًا إِلَىٰ حِینࣲ

“Dan Allah menjadikan bagi kamu rumah-rumah (yang kamu dirikan itu) tempat tinggal; dan Ia menjadikan bagi kamu dari kulit binatang-binatang ternak: khemah-khemah (tempat berteduh), yang kamu mendapatinya ringan (dibawa ke mana-mana) semasa kamu merantau dan semasa kamu berhenti; dan (Ia juga menjadikan bagi kamu) dari berjenis-jenis bulu binatang-binatang ternak itu, berbagai barang perkakas rumah dan perhiasan, (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatu masa.”

Surah yang ke-16. Juzuk yang ke-14. Muka surat yang ke-276. Ayat yang ke-80 dari Surah An-Nahl. Diturunkan di Makkah.

Kisah pertama

Imam As-Syafie yang dilahir di Gaza Palestin, usia 10 tahun telah dihantar ibunya merantau ke Makkah. Di usia 15 tahun, sudah mula ke Iraq bagi meneruskan perantauan ilmu. Sejarah telah membuktikan bahawa Imam As-Syafie telah merantau ke Harran, Madinah, Syria dan beberapa negara lain.

Kisah kedua

Menurut riwayat dalam Kitab Sahih Muslim, seorang Sahabat Nabi S.A.W yang bernama Saidina Abu Zar al-Ghifari menghadapi cabaran dalam perjalanannya untuk menuntut ilmu dengan Nabi S.A.W.

Saudaranya yang bernama Unais memberitahu bahawa terdapat seseorang lelaki dituduh sebagai tukang syair dan dukun di Makkah. Kebetulan Unais juga pensyair, maka Unais mendengar sendiri ungkapan syair dari lelaki terbabit.

Beliau yang berpengalaman dalam syair ini yakin bahawa apa yang didengarinya itu bukan syair seperti yang didakwakan. Maka beliau yakin lelaki terbabit adalah seseorang yang benar. Justeru, Abu Zar ingin menemui lelaki yang dimaksudkan terbabit di Makkah.

Namun, ketika bertanya penduduk Makkah mengenai lelaki terbabit maka mereka menyedari bahawa lelaki yang dicari terbabit adalah Nabi Muhammad S.A.W. Lantas mereka memukul Abu Zar sehingga pengsan dan berdarah.

Beliau tidak makan selama sebulan melainkan hanya minum air zam-zam sehingga ia berjaya menemui Nabi S.A.W. Ini cabaran yang dihadapi Abu Zar dalam mencari ilmu agama yang dibawa Nabi S.A.W.

Kisah ketiga

Menurut Imam al-Bukhari dalam Kitab al-Adab al-Mufrad, seorang Sahabat Nabi S.A.W yang bernama Saidina Jabir mendengar berita terdapat seseorang yang bernama Saidina Abdullah ibn Unais mendengar sesuatu Hadis dari Nabi S.A.W secara langsung yang ketika itu berada di Syam.

Beliau segera membeli unta dan bekalan untuk menuju ke sana yang mengambil masa selama sebulan perjalanan yang mana tujuannya hanya ingin mengetahui satu Hadis. Beliau bimbang jika salah seorang daripada mereka (yakni Jabir atau Abdullah) meninggal dunia yang menyebabkan ia terlepas peluang mengetahui Hadis terbabit.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani yang turut meriwayatkan kisah Jabir ini menyatakan bahawa: 

“Hadis ini menceritakan kesungguhan para Sahabat dalam memperolehi sunnah-sunnah Nabawi (ilmu mengenai Hadis).”

Begitulah hebatnya para Sahabat, para Alim Ulamak terdahulu merantau dan mengembara mencari ilmu. Maka, merantaulah, janganlah terlalu selesa dengan cuaca khatulistiwa. Janganlah terlalu selesa memakan nasi lemak dan roti canai.

Cubalah cuaca lain, cubalah selera lain yang memungkinkan kita dapat serba sedikit sunnah merantau. Al Fatihah kepada Tuan Guruku, Abang Seniorku di perantauan – Al Fadhil Sohibul Fadhilah Al Ustaz Adam Zainal. Moga dipermudahkan Allah Insya-Allah buatmu di dunia sana. 

Gambar semasa di perantauan. Tiada kena mengena antara yang kalah mahupun yang tewas. 

AHMAD FAISAL MOHD PUAIT
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Perak – HARAKAHDAILY 13/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100002407451278/posts/4094539827302892/

- Advertisement -