Kejayaan program vaksinasi tolak tohmahan kerajaan gagal

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) meneliti laporan yang didedahkan oleh Our World in Data yang dikelolakan oleh Oxford Martin School, Universiti of Oxford dan GCDL mengenai kadar purata vaksinasi Covid-19.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, kadar purata vaksinasi Covid-19 harian di negara ini dilaporkan kedua terbaik selepas Singapura dalam kalangan sembilan negara yang tersenarai.

Katanya, berdasarkan data berkenaan, setakat 9 Julai lalu, Malaysia merekodkan 0.96 bagi setiap 100 orang di bawah Singapura iaitu 1.3 dan di atas daripada Taiwan dengan 0.65.

- Advertisement -

Menurutnya, Malaysia juga merekodkan purata pemberian vaksin adalah ketiga tertinggi di dunia dengan 309,694 dos selepas Indonesia dan Amerika Syarikat.

MZai
Mohd Zai Mustafa

Tambahnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 324,745 dos suntikan vaksin diberikan pada 10 Julai lalu.

Ini, ujar beliau menjadikan jumlah keseluruhan dos vaksin dalam negara sebanyak 11,075,493 dos dengan anggaran satu juta dos suntikan dalam masa tiga hari

“Dengan kerancakan program vasinasi ini, Malaysia dijangka mengambil hanya akan masa tiga bulan bagi mencapai 90 peratus keseluruhan rakyat diberikan suntikan vaksin.

“Jika ini dapat dicapai, maka Malaysia menjadi negara yang paling berjaya,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, kata beliau ada pihak-pihak tertentu yang sedang giat membuat tohmahan dan propaganda bahawa Malaysia gagal dalam memberikan vaksin kepada rakyat.

Namun, tegasnya data dan fakta menunjukkan keadaan sebaliknya di mana Malaysia sedang berada di landasan yang tepat, jelas dan meyakinkan.

Sehubungan itu, katanya UMMAH menyeru kepada semua pihak, NGO dan pemimpin masyarakat agar terus memberi sokongan dan kerjasama yang terbaik kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Ini bagi mencapai sasaran imunisasi kelompok dengan segera bagi meletakkan negara kita dalam keadaan yang selamat,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 13/7/2021

- Advertisement -