JHEAIK benar korban di masjid, kawasan lapang

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kedah membenarkan pelaksanaan ibadah korban sempena Aidiladha pada 20 Julai ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), ibadah itu dibenarkan bermula jam 7 pagi hingga 7 malam pada hari raya pertama hingga keempat.

Katanya tiada had bilangan haiwan korban di rumah penyembelihan milik kerajaan dan swasta berlesen.

- Advertisement -

Manakala di masjid, surau, premis persendirian dan kawasan lapang hanya dibenarkan lima ekor haiwan korban sehari sahaja.

“Selain itu setiap sembelihan korban perlu mendapatkan kebenaran daripada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah, Pejabat Agama Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya pada satu kenyataan di sini.

Manakala urusan penyembelihan, melapah, pembungkusan dan agihan, tidak lebih 12 petugas dibenarkan bagi satu-satu masa atau setiap ekor haiwan korban.

“Agihan tidak dibenarkan di tempat penyembelihan sebaliknya dilakukan oleh petugas ke rumah peserta sementara aktiviti kenduri juga tidak dibenarkan.

“Petugas dan peserta juga perlu memenuhi kelayakan ditetapkan dan diutamakan bagi mereka yang sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

“Jawatankuasa ibadah korban bertanggungjawab perlu memastikan ibadah korban dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung mengikut seperti yang ditetapkan,” katanya.

Selain itu penganjur digalakkan melantik sukarelawan atau badan ‘uniform’ untuk mengawal keselamatan lokasi.

JHEAIK juga mencadangkan peralatan dan lokasi penyembelihan bebas bakteria mengikut tatacara Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebelum dan selepas pelaksanaan ibadat korban. – HARAKAHDAILY 12/7/2021

- Advertisement -