DUPNS kecewa langkah politik tiada kepentingan rakyat

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Negeri Selangor (DUPNS), Ustaz Muhammad Ibrahim menzahirkan rasa kecewa atas sikap segelintir pemimpin politik yang masih mencatur langkah politik yang tiada kepentingan untuk rakyat ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Beliau yang juga dikenali sebagai Ustaz Mad Cina (UMC) berkata, dengan kes kematian akibat Covid-19 telah mencecah lebih 6,000 mangsa, ia merupakan satu jumlah yang besar sekiranya situasi itu diaplikasikan di medan perang sebenar.

Jelasnya, berpolitik bukanlah satu kesalah atau dilarang, namun politik tanpa justifikasi dan hala tuju yang jelas kerana bimbang kehilangan kuasa bukan sesuatu yang wajar.

“Sekiranya kita dalam suasana dan situasi perang, ia (kematian 6,000) adalah angka yang sangat banyak, dahsyat dan menggerikan.

“Namun, amat sedih sekali. Nyawa ini seolah hanya angka bagi segelintir ahli politik yang ingin menjaga periuk dan tengkuk masing-masing daripada dicantas.

“Secara logiknya, berita atau khabar kematian setiap hari sepatutnya menjadi titik tolak untuk bermuhasabah bahawa setiap yang hidup pasti merasai mati.

“Namun, tindak tanduk mereka amat jauh berbeza sekali. Adakah kerana yang pergi menghadap itu bukan dalam kenalan terdekat?

“Atau kematian, bukan lagi satu peringatan buat mereka yang masih hidup?” soalnya dalam satu kenyataan media, semalam.

“Dalam situasi kita berdepan dengan musuh yang tidak nampak ini, saya amat kecewa dengan langkah-langkah politik yang tidak mempunyai kepentingan untuk rakyat.

“Bukanlah politik itu dilarang, dibenci, tetapi berpolitik tanpa hala tuju dan justifikasi yang jelas, hanya kerana takut hilang kuasa, ia amat jijik.

“Kuasa dan pengaruh dunia hanya sementara, mengapa begitu tekun mencari sehingga lupa rakyat sedang terkorban?” soalnya lagi.

Justeru itu, beliau menyeru agar semua pihak mengenepikan sementara sebarang perkara yang tidak wajar dan tidak penting yang berlaku dalam negara ketika ini.

Beliau mengajak masyarakat bersama memberi perhatian membantu mereka yang memerlukan bantuan dan membantu negara mencapai herd imunity selain membantu masyarakat pulih dari sebarang tekanan emosi dan perasaan. – HARAKAHDAILY 12/7/2021

- Advertisement -