Taktik tukar jenama minyak subsidi sebelum diseludup

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Tindakan penyeludup menggunakan jenama minyak masak milik syarikat lain akhirnya tumpas ketika mereka cuba menyeludup barangan kawalan itu dari Kelantan ke Thailand.

Cubaan menyeludup 5,610 kilogram minyak masak yang dianggarkan bernilai RM14,025 ke negara jiran itu akhirnya gagal apabila taktik berkenaan dipatahkan pihak berkuasa.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Azanizam Affendi Juri, berkata tiga kenderaan membawa muatan barang kawalan berkenaan ditahan dalam operasi yang bermula jam 3 petang itu.

Katanya, serbuan berkenaan dibuat selepas pihaknya mengekori penyeludup tersebut yang keluar dari premis pembungkus minyak masak di Tendong, Pasir Mas.

Azanizam berkata, operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama Pasukan Batalion 7 Gerakan Am (PGA7).

Pada masa yang sama jelas beliau, ekoran serbuan itu pihaknya turut menahan tiga lelaki disyaki pemandu van dan kereta terbabit.

“Ketiga-tiga buah kenderaan yang ditahan diperiksa berjaya menemui minyak masak paket 1 kg bersubsidi dalam van Toyota Hiace dengan anggaran sebanyak 5100 kilogram dan anggaran sebanyak 510 kilogram di dalam Proton Saga.

“Nilai rampasan keseluruhan barangan kawalan dianggar sebanyak RM14,025 manakala nilai kenderaan yang disita sebanyak RM100,000,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, semua barang rampasan dan pemandu kenderaan akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“KPDNHEP Kelantan memberi amaran keras kepada mana-mana peniaga yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan atau penyelewengan barangan subsidi yang diberikan kepada rakyat negara ini.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang melakukan kesalahan tanpa kompromi,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 11/7/2021

- Advertisement -