Henti berpolitik, fokus usaha bantu rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa semua pihak terutama ahli politik supaya berhenti berpolitik, sebaliknya memberi fokus kepada usaha membantu rakyat yang sedang mengalami kesusahan akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata dalam keadaan jumlah kes Covid-19 yang masih tinggi, semua pihak perlu bersatu dan bersama-sama untuk memerangi pandemik itu.

“Janganlah kita berpolitik dalam keadaan sekarang ini kerana rakyat sedang mengalami kesusahan dan memerlukan fokus sepenuhnya bukan sahaja daripada kerajaan tetapi juga parti-parti politik supaya kita dapat membantu rakyat.

- Advertisement -

“Sekarang ini fokus kita mestilah membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan dan dalam masa yang sama strategi untuk menentang Covid-19 ini perlu juga disokong oleh semua,” katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

PPR Kerinchi dikenakan PKPD bermula 3 hingga 16 Julai.

“Jadi inilah yang menyebabkan jumlah kes Covid-19 dilihat meningkat kerana kawasan PKPD ini menyumbang kepada kes Covid-19, yang akhirnya akan turun juga,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan melakukan ujian saringan Covid-19 setiap hari di kawasan PKPD.

“Sebagai contoh bagi penduduk di kawasan PKPD di Selangor, banyak klinik swasta yang dibuka secara ‘walk-in’ untuk buat ujian saringan Covid-19…perkara itu juga menyumbang kepada peningkatan kes sehingga PKPD ditamatkan,” katanya.

Ismail Sabri berkata KKM menjangkakan kes Covid-19 akan terus meningkat dan kerajaan sedang berusaha untuk menambah bilangan katil agar dapat merawat pesakit yang positif Covid-19.

Selain itu, beliau juga berkata sehingga hari ini terdapat 200 kes positif Covid-19 di PPR Kampung Kerinchi. – BERNAMA