Tekanan COVID-19: Kerajaan sedia pelbagai saluran membantu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Situasi semasa COVID-19 dengan angka jangkitan yang belum mencatatkan sebarang penurunan telah mengundang pelbagai bentuk cabaran dan tekanan buat rakyat Malaysia dari setiap lapisan. 

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat (KPWKM), Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff menyeru rakyat yang mengalami sebarang bentuk masalah supaya mendapatkan bantuan melalui pelbagai saluran disediakan pihak kerajaan.

Bercakap dalam Forum Bicara Semasa, “Tekanan Mental dan Emosi COVID-19: Realiti dan Solusi” anjuran Jaringan Siswazah Malaysia (JASA), Siti Zailah menyatakan kerajaan, khususnya KPWKM menyediakan pelbagai saluran untuk membantu rakyat berhadapan situasi getir ini.

- Advertisement -

“Kita sedar bahawa PKP ini telah memberikan kesan yang hebat bukan hanya pada sektor kesihatan dan ekonomi, malah rakyat ada yang bergelut dengan pelbagai masalah seperti krisis dalam rumah tangga, hilang pekerjaan, cabaran dalam pendidikan anak-anak, dan kekangan untuk bersosial,” ujar beliau dalam forum yang dianjurkan secara atas talian tersebut.

KPWKM dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengaktifkan lebih 108 Pusat Khidmat Masyarakat Daerah (PKMD) untuk dihubungi di seluruh negara bagi rakyat yang memerlukan bantuan. 

Antara inisiatif utama ialah Talian Kasih yang boleh dihubungi melalui talian 15999 atau melalui aplikasi WhatsApp ke nombor 0192615999.

“Talian ini kita buka 24 jam dan kepada rakyat yang berhadapan dengan apa juga masalah atau kecemasan, saya harap segera dapatkan bantuan melalui Talian Kasih ini,” seru beliau lagi.

Beliau turut mengumumkan pelbagai bentuk bantuan yang disediakan oleh pelbagai agensi di bawah KPWKM dan Kerajaan Pusat serta kerajaan di negeri-negeri di seluruh Malaysia.

Forum tersebut turut disertai Pakar Psikiatri, Dr Ahmad Rostam yang mengulas mengenai situasi COVID-19 yang telah dan sedang mengundang pelbagai bentuk tekanan emosi dan mental. 

Menurut Dr Rostam, program pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) begitu juga aktiviti melibatkan pertemuan atau mesyuarat atas talian, boleh menjejaskan kesihatan kerana bentuk komunikasi yang tidak normal memberikan kesan kepada kesihatan mental dan emosi rakyat Malaysia. 

“Oleh kerana situasi ini tidak dapat dielakkan, rakyat Malaysia perlu mengambil langkah proaktif menyelamatkan diri dan keluarga dengan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memelihara kesihatan mental dan emosi, terutama ketika situasi mencabar seperti ini,” jelas Dr Rostam lagi.

Forum tersebut dipengerusikan oleh Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keluarga, Sosial, dan Komuniti JAKIM, Ustazah Yuhaniz Mohd Yusop dianjurkan dengan kerjasama NGO Prime Care Malaysia dan disiarkan secara langsung di beberapa laman aplikasi Facebook di seluruh Malaysia. – HARAKAHDAILY 9/7/2021

- Advertisement -