Adun biaya sewa rumah asnaf tinggal dalam kabin

- Advertisement -

Oleh DANISYA ISMAIL

BAGAN SERAI:
Sebuah keluarga yang terpaksa tinggal berhimpit dalam kabin kecil di Kubu Gajah, Semanggol selepas rumahnya terbakar mendapat perhatian wakil rakyat.

Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria berkata pihaknya akan berusaha membaik pulih rumah penduduk terbabit yang terbakar sebelum ini.

“Pakteh sudah minta pegawai Pusat Khidmat untuk mencari rumah sewa. Jika hari ini dapat (rumah sewa), hari ini juga kita akan minta mereka pindah.

- Advertisement -

“Insya-Allah untuk urusan bayaran sewa rumah, Pusat Khidmat Gunung Semanggol yang akan bayar sehingga rumah mereka siap dibina. Yang penting mereka ada tempat yang selesa selepas ini,” katanya selepas melawat keluarga terbabit semalam.

Turut hadir pada lawatan tersebut Penghulu Tertinggi Daerah Kerian Ahmad Jaiz Rofiee.

Penduduk terbabit Shahrulnizam Jamhari, 49 berkata, rumah bantuan Baitulmal miliknya musnah dalam kebakaran 23 Julai tahun lalu menyebabkan keluarganya tinggal sehelai sepinggang.

Katanya selepas rumahnya terbakar tahun lalu lima lima ahli keluarganya menumpang tinggal di rumah ibu dan sekarang tinggal di kabin kecil kerana tidak mampu membina rumah baru.

Shahrulnizam bekerja sebagai sukarelawan RELA dan turut mengambil upah membaiki peralatan elektrik bagi menyara isteri dan tiga orang anak yang masih bersekolah.

Oleh itu Razman berkata beliau akan berusaha supaya rumah milik Shahrulnizam dapat dibaik pulih semula dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh sebulan. – HARAKAHDAILY 9/7/2021

- Advertisement -