Ketepi dahulu isu lain, fokus tangani Covid-19

- Advertisement -

KANGAR: Pemerhati politik dari Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Rusdi Omar berharap pemain politik di negara ini mengenepikan dahulu isu lain dan memberi keutamaan ke arah menangani Covid-19 dan menjana ekonomi negara.

“Dalam keadaan sekarang fokus utama pemain politik atau pemimpin politik adalah untuk bersama menangani isu Covid-19 dan ekonomi.

“Kerana dua isu ini adalah isu kritikal, isu yang lain tolong kesampingkan walaupun kita tengok sedang bergolak sekarang ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

- Advertisement -

Katanya, sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk menekankan isu politik.

“Lepas isu Covid-19 dan ekonomi reda, barulah mereka sesuai untuk berpencak dalam dunia politik yang tiada berkesudahan. Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri harus bekerjasama ke arah menangani dua isu penting ini,” ujarnya.

Menurut beliau jika mereka (ahli politik) benar-benar ikhlas dan mementingkan negara maka mereka perlu berfikir dan bertindak untuk kebaikan rakyat dan keseluruhannya.

“Setiap parti perlu menunjukkan keikhlasan untuk memberi kerjasama di bawah teraju Perdana Menteri setelah wakil Umno dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Sekurang-kurangnya, cadangan saya, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob perlu mengeluarkan kenyataan sokongan untuk terus memberi fokus dalam menangani isu Covid-19 dan ekonomi juga masa yang sama permasalahan rakyat sekarang,” katanya.

Pada Rabu lalu Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Dato’ Hishammudin Hussien sebagai menteri kanan. – HARAKAHDAILY 9/7/2021

- Advertisement -