Warga emas, OKU belum daftar boleh datang ke PPV

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

JERLUN:
Usaha Adun Ayer Hitam, Azhar Ibrahim memohon dua sekolah dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sementara yang dikhusus untuk warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) akhirnya menjadi kenyataan.

Menurut beliau permohonan itu dibuat Jun lalu namun disebabkan masalah bekalan vaksin menyebabkan ia ditangguh kepada bulan ini.

Dua sekolah terbabit iaitu Sekolah Menengah Agama (SMA) Nurul Islam dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Seri Indera Putra, Alor Biak dijadikan sebagai PPV sementara bermula 5 hingga 8 Julai ini.

- Advertisement -

“PPV itu untuk memberi kemudahan kepada warga emas dan OKU untuk mendapatkan suntikan vaksin. Di SMA Nurul Islam diadakan pada 5 dan 8 Julai, manakala SMK Seri Indera Putra pada 6 dan 7 Julai,” ujar beliau ketika dihubungi hari ini.

Azhar juga berkata, kebanyakan penduduk yang mereka menghadapi masalah mendaftar program vaksinasi dari kawasan luar kawasan.

Katanya juga beliau dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) dan Pejabat Kesihatan Daerah melakukan pendaftaran vaksinasi secara manual kepada penduduk kampung.

Kata beliau sasaran pendaftaran itu terutama dalam kalangan warga emas dan OKU.

“Mana-mana warga emas dan OKU yang belum mendaftar boleh datang secara walk in mengikut tarikh dan tempat yang disediakan.

“Sehingga dua hari hampir 500 penduduk berjaya disuntik bermula jam 8 pagi hingga 5 petang walaupun petugas Pusat Kesihatan agak terhad.

“Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Ayer Hitam turut menyediakan seramai 30 sukarelawan untuk membantu urusan pendaftaran, manakala anggota Jabatan Amal menjaga lalu lintas,” ujar beliau.

PPV di SMK Tunku Seri Indera Putra turut dilawati Exco Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan Dato’ Dr Mohd Hayati Othman semalam. – HARAKAHDAILY 7/7/2021

- Advertisement -