Vaksinasi diutama di kawasan berlaku banjir

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN Foto RIZAL TAHIR

TUMPAT:
Kerajaan negeri berharap program vaksinasi diberi tumpuan di kawasan yang sering berlaku banjir sebelum tiba musim tengkujuh.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Wan Roslan Wan Hamat berkata, di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Kubor misalnya ada banyak kampung berhampiran Sungai Golok sering berlaku banjir.

Katanya, kawasan terbabit wajar diberi keutamaan bagi membolehkan penduduk mendapatkan vaksin lebih awal bagi mengelakkan berlaku penularan di pusat pemindahan sementara.

- Advertisement -

“Kita berharap program vaksinasi antaranya di Jubakar Darat dapat diselesaikan sebelum tibanya musim tengkujuh memandangkan kawasan ini selalu berlaku banjir,” katanya di sini semalam.

Sebelum itu beliau meninjau program Outreach di Wat Machimmaran, Jubakar Darat. Program itu diadakan selama dua hari bermula Isnin untuk melakukan pendaftaran vaksin.

Wan Roslan yang juga Adun Pengkalan Kubor berkata, pihaknya melakukan pelbagai inisiatif bagi memastikan tiada rakyat yang terkecuali mendapatkan vaksinasi.

Katanya, walaupun ada segelintir penduduk masih takut untuk mendapatkan vaksin, namun dengan kerjasama pelbagai pihak, akhirnya mereka akur kepentingan vaksinasi.

Menurutnya juga seramai 5,000 orang masyarakat siam di Kelantan sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksinasi melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Jumlah tersebut separuh daripada lebih 10,000 kaum Siam yang tinggal di Kelantan. Sehingga sekarang sambutan pendaftaran vaksinasi menggalakkan dan diharap boleh capai sasaran keseluruhan tidak lama lagi.

“Untuk kawasan Jubakar Darat seramai 2,000 telah berdaftar dan ia di antara lokasi yang paling ramai diduduki masyarakat Siam di Dun Pengkalan Kubor,” katanya.

Sementara itu penghulu Kampung Jubakar Darat, Ichan Chaunoi berkata, masyarakat Siam di kawasan berkenaan sangat teruja untuk mendapatkan vaksin.

“Mujur ada program outreach mudahlah sikit kami mendapatkan vaksin,” katanya.

Manakala dalam perkembangan berkaitan sebanyak 10.9 peratus daripada 189,800 penduduk di Tumpat telah menerima vaksin dos pertama dan 6.73 peratus menerima dos kedua. – HARAKAHDAILY 7/7/2021

- Advertisement -