Perjanjian haram

- Advertisement -

MINGGU lepas kita bincang mengenai setiap perjanjian perlu dibuat dengan rela hati. Perlu ada tawaran, penerimaan dan balasan. Perlu ada niat untuk dikuatkuasa, bukan janji nasi kandar semata-mata.

Kali ini saya mahu kongsikan, walaupun semua elemen di atas sudah ada, tetapi pihak-pihak terlibat bersetuju untuk lakukan perkara yang bertentangan undang-undang, kontrak tersebut akan jadi terbatal juga. Begitu juga kalau matlamat kontrak tersebut adalah untuk secara kreatifnya mengelak undang-undang. Kontrak tersebut akan terbatal juga. 

- Advertisement -

Saya selalu berikan contoh ‘harga mark-up’ bila beli rumah. Sesetengah orang tinggikan harga beli sesebuah rumah untuk membolehkan pinjaman diperolehi dengan kadar tinggi. Kemudian, dia buat pula satu perjanjian sampingan atau mengatakan harga sebenar adalah lebih rendah. Jadi bila bank bagi pinjaman tinggi, wang lebihan (setelah bayar deposit lebih rendah) bolehlah buat bayar yuran guaman atau renovasi rumah.

Perjanjian sampingan sebegini boleh jadi tidak sah kerana:

1. Niat menipu bank.
2. Matlamatnya untuk mengelak aplikasi undang-undang jual beli (bayar deposit) dan sebagainya.

Contoh kedua ialah perjanjian untuk mengelak pembayaran cukai, seperti membuat perjanjian dengan syarikat-syarikat pihak ketiga untuk ‘memarkir’ wang dengan mereka untuk mengelak taksiran cukai. Kontrak sebegini jelas cuba mengelak aplikasi undang-undang. Ia boleh jadi tidak sah.

Begitu juga kontrak rasuah seperti membuat perjanjian untuk meminta ‘komisen’ daripada kontraktor yang di‘award’ kontrak atas nama ‘procurement commission’ atau ‘consultancy fees’. Ramai yang buat, tapi kalau ada pihak yang khianat yang mahu katakan perjanjian itu tidak sah, maka ada pihak yang akan melopong.

Kontrak-kontrak yang jelas haram seperti perjanjian perbekalan dadah, jual beli senjata haram, perjanjian khidmat pelacuran dan sebagainya itu sememangnya jelas-jelas terbatal sedari awal.

Kalau kontrak terbatal sedari awal, maka ia tidak boleh dikuatkuasakan sama sekali. Pergilah mahkamah mana pun, mahkamah akan kata ‘mahkamah tidak akan bantu perkara yang melanggar undang-undang’. Hati-hatilah. Jangan terlalu kreatif. Fahami undang-undang sebelum terlibat dengan apa-apa komitmen baru.

YUSFARIZAL YUSSOFF – HARAKAHDAILY 7/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/102136115453190/posts/117827777217357/

- Advertisement -