Polis Tumpat rampas dadah bernilai RM2.1 juta

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

TUMPAT:
Polis Tumpat berjaya membuat rampasan terbesar dadah bernilai RM2.1 juta di muka kuala Taman Tengku Anis, Pengkalan Kubor melalui Op Tapis pada Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, dadah jenis syabu dan heroin tersebut dirampas pada jam 4.30 petang ketika pasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat melakukan rondaan di kawasan sempadan.

- Advertisement -

Katanya semasa rondaan dilakukan pihaknya melihat dua lelaki beredar keluar dari tebing kuala Taman Tengku Anis menaiki bot enjin galah nenuju ke Tak Bai, Thailand.

“Polis membuat pemeriksaan lanjut ke atas barang yang dirampas dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat bungkus plastik hitam di atas batu di tepi tebing,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini hari ini.

Menurutnya syabu dan heroin tersebut dianggar boleh digunakan kira-kira 222,000 penagih.

Kata beliau polis membawa balik barang kes tersebut ke IPD Tumpat untuk tindakan lanjut.

Abdullah juga berkata, hasil pemeriksaan mendapati dalam bungkusan plastik hitam pertama terdapat guni putih yang berisi 29 bungkusan plastik warna hijau tertera tulisan Cina berisi ketulan mampat kristal disyaki dadah jenis syabu.

Manakala pemeriksaan plastik kedua didapati terdapat guni berisi tujuh bungkusan plastik warna keemasan tertera tulisan Cina berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis syabu.

Katanya, di dalamnya turut terdapat 24 bungkusan bertulis bahasa Inggeris berwarna coklat yang dibalut dengan plastik lut sinar berisi ketulan mampat warna putih disyaki dadah jenis heroin base berat 8,400 gram.

“Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan namun pihaknya melakukan siasatan terperinci untuk mengenal pasti pembekal dan penerima dadah yang dirampas.

“Pihak Jabatan Narkotik Kelantan akan mengembeling tenaga bagi mengenal pasti sindiket berkenaan dan pihak kita akan menjalankan perisikan bersama Thailand,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, kumpulan sindiket berkenaan juga dipercayai melibatkan dua negara iaitu Malaysia dan Thailand.

Kata beliau juga bekalan dadah berkenaan dipercayai untuk dipasarkan di Kelantan dan Klang. – HARAKAHDAILY 5/7/2021

- Advertisement -