Perak benar solat Jumaat, fardu ikut saiz masjid

Sultan Nazrin Shah
- Advertisement -

Oleh DANISYA ISMAIL

IPOH:
Semua masjid dan surau di Perak dibenar solat Jumaat dan fardu mengikut keluasan dewan solat utama dengan mematuhi jarak fizikal yang ditetapkan berkuat kuasa solat Maghrib esok.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan titah perkenan tersebut hari ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini berkata, Sultan Perak mengambil maklum sembah nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Keselamatan Negeri Perak.

- Advertisement -

Selain itu berlandas sembah nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Oleh itu katanya semua surau termasuk di kem tentera dan polis, bangunan pejabat, institusi, universiti, politeknik, maktab, sekolah, syarikat dan kilang dibenarkan mendirikan solat Jumaat.

“Semua masjid dan surau juga dibenar mengadakan solat sunat Aidiladha dengan menerima bilangan jemaah mengikut keluasan dewan solat utama dan mematuhi jarak fizikal ditetapkan.

“Solat sunat Aidiladha juga dibenarkan diadakan di tempat terbuka dan kawasan lapang di kawasan perumahan dengan memaklum sekurang-kurangnya tiga hari sebelum Hari Raya kepada Balai Polis atau Pondok Polis terdekat,” katanya pada kenyataan hari ini.

Mohd Annuar juga berkata, kuliah ilmu dibenarkan dalam ruang waktu selepas solat Maghrib dan dihentikan sebaik masuk waktu solat Isyak.

Kuliah sebelum solat Jumaat pula hendaklah diadakan tidak melebihi 30 minit.

Kata beliau untuk solat Jumaat dan solat jenazah hanya jemaah lelaki, warganegara dan penduduk tetap Malaysia berusia 12 tahun ke atas dibenarkan.

Bagaimanapun menurutnya kumpulan berisiko tinggi khususnya yang menghidap penyakit tertentu dinasihat tidak menghadiri aktiviti di masjid atau surau.

Sementara itu Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad melahirkan kesyukuran terhadap keputusan itu bagi membolehkan muslimin muslimat mengimarahkan semula masjid dan surau.

“Kita di Perak berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Banyak sektor yang dibenarkan beroperasi. Namun biarpun diberi kebenaran menunaikan solat di masjid dan surau aktiviti munajat perlu diteruskan.

“InsyaAllah kita perlu terus mendoakan semoga Malaysia khususnya Perak semakin pulih daripada wabak Covid-19. Selain itu masing-masing perlu bertanggungjawab mematuhi SOP,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/7/2021

- Advertisement -