Pasangan warga emas bertuah disuntik vaksin di rumah

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KUALA KRAI:
Pasangan warga emas di Kampung Sungai Tako dekat sini bertuah apabila menerima suntikan vaksin dos kedua di kediaman mereka hari ini.

Jelas terpancar kegembiraan di wajah warga emas yang uzur Siti Haminah Abdullah, 74, setelah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 dalam Program Outreach Vaksinasi di kampung berkenaan.

- Advertisement -

Beliau bersama suaminya Manaf Mamat, 86, melengkapkan dua suntikan vaksin Covid-19, selain turut menyeru masyarakat supaya segera menerima suntikan vaksin.

Siti Haminah berkata, beliau rasa bersyukur dan gembira kerana petugas Jabatan Kesihatan yang datang ke rumah mereka untuk memberi suntikan vaksin.

“Makcik rasa lega setelah terima suntikan. Selepas suntikan pertama dahulu pun, tidak ada apa-apa berlaku dan kesihatan keadaan baik,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, seramai 548 penduduk Pasir Kelang selesai menerima suntikan bagi dos kedua.

Katanya, program itu dilihat cukup berjaya dan dapat membantu kerajaan mencapai tahap imiuniti kelompok.

Beliau turut menjangkakan Program Outreach Vaksinasi akan dibuat secara lebih agresif selepas menyambut Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

Bekalan vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dibawa menggunakan feri dari pangkalan Kampung Pasir Kelang.

Konvoi membawa vaksin tiba kira-kira 8.30 jam pagi dengan kenderaan pacuan empat roda yang diiringi anggota polis bagi memastikan kelancaran penghantaran dan tiba tepat pada waktunya. – HARAKAHDAILY 7/7/2021

- Advertisement -