Pemuda PAS Sabah lapor polis Kit Siang biadab

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah bersama Dewan Pemuda PAS Kawasan di seluruh negeri itu telah membuat laporan polis terhadap kebiadapan dan keceluparan yang dilontarkan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Ketua Penerangannya, Mustaman Mustain berkata, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam satu ciapannya di twitter dengan secara sedar dan niat tidak baik telah sengaja menghina Allah.

- Advertisement -

Seterusnya menghasut dan mengelirukan aqidah umat Islam supaya mempertikaikan kuasa Allah yang jelas telah melukakan perasaan umat Islam, ujarnya.

“Tindakan ini jelas menghina Islam selain boleh menyebabkan perpecahan kaum dan mengundang ketegangan antara agama,” katanya pada satu hantaran di laman Facebook Rasmi PAS kawasan Libaran, hari ini.

Terdahulu, Kit Siang memuat naik tulisan berbaur provokasi dan sindiran terhadap tulisan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Abdul Hadi Awang berhubung istilah ‘kerajaan Allah’ dalam tulisan berjudul ‘Pandemik Covid-19 dan Pandemik Politiking’.

Veteran DAP itu mempersoalkan, sekiranya kerajaan Allah adalah kerajaan terbaik dalam mendepani pandemik Covid-19, mengapa prestasi keseimbangan indeks ekonomi global atau global economist index normalcy yang ditulis The Economist berada jauh daripada kedudukan beberapa buah negara yang tidak mendakwa mereka sebagai Kerajaan Allah.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Sabah menyeru pemimpin Islam lain khususnya sekutu DAP iaitu Parti Warisan Sabah dan badan pertubuhan kerajaan (NGO) atau badan pertubuhan bukan kerajaan Islam (NGI) tampil membuat laporan yang sama, sekali gus menunjukkan tanda protes umat Islam terhadap keterlanjuran Lim Kit Siang tersebut.

Mustaman dalam kenyataannya memaklumkan satu laporan polis telah dibuat oleh beliau bersama pimpinan Pemuda PAS di Balai Polis Bandar Sandakan, hari ini.

Beliau berkata, laporan sama juga telah dibuat di seluruh Sabah termasuk di Kota Kinabalu oleh Ketua Pemuda PAS Sabah, Zulzaim Hilmee Abidin dan pimpinan Pemuda PAS lain di Tawau serta Kalabakan. – HARAKAHDAILY 7/7/2021