Hapus sebahagian hutang: Hadiah buat peneroka Felda

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan bersetuju dengan cadangan pihak Felda untuk melupuskan sebahagian hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion merupakan satu berita baik untuk peneroka.

Menurut Presiden Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI), Ustaz Roslan Md Esa, khabar tersebut merupakan satu ole-ole istimewa yang diterima peneroka sempena Hari Peneroka Felda, hari ini.

“Sempena Hari Peneroka Kebangsaan, pada 7 Julai, saya kira ini satu ole-ole istimewa untuk para peneroka, dan inilah membuktikan kerajaan PN sangat menitik beratkan kebajikan kepada para peneroka

“Juga membuktikan bahawa kerajaan sangat menghargai peranan yang dimainkan oleh para peneroka yang memajukan sektor komuditi perladangan ini,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Jelasnya, beliau optimis pengurusan Felda akan lebih baik sekiranya ia dilakukan dengan sikap jujur dalam melaksanakan tanggingjawab masing-masing kepada negara secara bersama.

Juseru itu, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada peneroka dalam pencapaian mereka sehingga ke hari ini selain turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan.

“Pihak kerajaan, apa yang telah di target, saya kira hampir semua, mungkin hendak kata semua itu tidaklah. Tetapi banyaklah insentif-insentif yang diumumkan oleh pihak kerajaan ini, manfaatnya besar untuk keluarga.

“Tahniah kepada peneroka, dan GENERASI Insya-Allah akan terus berjuang bagi membela hak-hak yang berkaitan dengan peneroka dan generasi,” ujarnya.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan secara dasar berstuju dengan cadangan pihak Felda untuk melupuskan sebahagian hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Menurut Muhyiddin, cadangan itu akan dilaksanakan melalui inisiatif pelarasan pinjaman oeneroka secara bersyarat terutama bagi generasi awal.

“Dengan inisiatif ini, bebanan pinjaman yang ditanggung peneroka akan berkurangan sebanyak purata 80 peratus setiap peneroka.

“Purata bayaran balik pinjaman pula dijangka berkurangan daripada sekitar RM800 hingga RM1,000, kepada hanya RM250 hingga RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah iaitu satu kadar yang sangat munasabah dan mampu dibayar oleh mereka,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Peneroka Felda 2021 secara maya, hari ini.

Sementara itu, Roslan turut mewakili GENERASI mengucapkan syabas dan tahniah kepada Perdana Menteri di atas pengumuman itu.

Katanya, khabar itu merupakan suatu berita yang sangat menggembirakan para peneroka, khasnya mereka yang terlibat dengan hutang.

“Kerajaan membuat keputusan ini, keputusan yang besar dan nilainya bukan kecil, RM8.3 bilion, dan dia sangat menggembirakan para peneroka.

“Ucapan saya kepada peneroka, saya (mengucapkan) syabas kepada peneroka kerana perjuangan kita yang dahulu dari awal sebelum kita jadi kerajaan lagi, memang antara lain ialah kita hendak menghapuskan hutang-hutang yang tidak munasabah.

“Yang kemudian kita hendak memastikan harga sawit di tahap yang sangat memuaskan dan saya berpandangan di era PN ini, kedua-dua ini kita dapat capai.

“Hutang telah kerajaan umum untuk lupus, sebahagian hutang peneroka bernilai RM8.3 bilion dan harga sawit pun berada di tahap yang sangat membanggakan dan memuaskan hati para peneroka,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/7/2021

- Advertisement -