DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengecam sekeras-kerasnya kebiadaban Lim Kit Siang serta penghinaannya terhadap kesucian agama Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, Perkara 3(1) sebagai agama bagi Persekutuan.
Sikap biadab Lim Kit Siang ketika memberikan respon segera kepada tulisan YB Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang melalui laman Facebook menzahirkan kebencian beliau terhadap agama Islam selaku pemimpin veteran parti DAP.
DUPP menyeru semua pihak agar membuka mata melihat perwatakan sebenar DAP yang sentiasa mengambil kesempatan untuk melakukan penghinaan terhadap agama Islam dengan perbuatan melampau sehingga berani mempersendakan nama Allah S.W.T.
Perbuatan seperti ini tidak boleh dibiarkan sama sekali, bahkan tindakan segera perlu diambil ke atas Lim Kit Siang atas penghinaan dan sikap melampau yang dilakukan. DUPP mendesak supaya Lim Kit Siang segera meletakkan jawatan dalam dunia politik. Ini kerana ahli politik yang biadab seperti beliau tidak layak berkhidmat kepada negara apatah lagi menjunjung tinggi aspirasi perlembagaan.
DUPP juga memberikan peringatan kepada mana-mana pihak yang bercita-cita untuk membina jajaran baru bersama DAP ini supaya berfikir dengan lebih rasional dan mendalam akan implikasi yang bakal menimpa negara, khususnya berkait dengan kedudukan agama Islam.
DUPP percaya tindakan PAS memutuskan Tahaluf Siyasi dengan DAP semasa dalam Pakatan Rakyat adalah tepat demi menjaga maslahah agama dan keharmonian di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
DUPP menyeru seluruh umat Islam agar mengukuhkan kesatuan serta tetap teguh mempertahankan agama Islam dan bersikap tegas terhadap apa-apa tindakan yang menggugat kesuciannya. Ketegasan ini selaras dengan Firman Allah S.W.T:
مُحَمَّدٌ رَسولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذينَ مَعَهُ أَشِدّاءُ عَلَى الكُفّارِ رُحَماءُ بَينَهُم
“Nabi Muhammad (S.A.W) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam).”
(Al-Fath: 29)
“Ulamak Perteguh Muafakat”
“Islam Memperkukuh Perpaduan”
YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen (Pasir Puteh) – HARAKAHDAILY 6/7/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/112140085517515/posts/4299766130088202/
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!