Lim Kit Siang biadab dan melampau

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengecam sekeras-kerasnya artikel pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang berbaur kebiadaban dan penghinaan terhadap kesucian agama Islam dengan cuba memesongkan kenyataan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam media sosialnya pada 05 Julai 2021.

Dalam media sosialnya, Lim Kit Siang menulis; ‘If Allah government is the best form of government in Covid-19 pandemic, why Malaysia is the last in the economist’s global normalcy index losing out to countries none of which can claim to be ‘Allah’s government’.; Kenyataan ini jelas berbentuk menghina dan melampau terhadap agama Islam kerana menyentuh sensitiviti orang Islam di negara kita secara terang-terangan apatah lagi oleh beliau yang merupakan salah seorang Ahli Parlimen yang berpengalaman dari parti pembangkang.

- Advertisement -

Kenyataan ini juga jelas menyeleweng dari maksud hujah asal dari Tuan Guru Presiden PAS yang berbunyi ‘Hanya kerajaan Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Sempurna boleh menghapuskan wabak ini pada bila-bila masa. Adapun kerajaan manusia tetap menghadapi kekurangan dan kelemahan, serta wajib melakukan muhasabah bagi menampung kekurangan tersebut’. Tuan Guru Presiden PAS secara harfiahnya di sini tidak mengatakan Kerajaan Allah Yang Maha Berkuasa adalah kerajaan yang terdiri dari sekumpulan entiti manusia yang mentadbir sesebuah negara seperti pemahaman universal.

Selaku ahli politik yang berlatarbelakang undang-undang, kenyataan beliau sangatlah dikesali kerana beliau sudah pasti sedar akan kesan dari kenyataan kerasnya ini yang boleh memecah belahkan komuniti masyarakat majmuk di negara kita. Kenyataan beliau juga telah menzahirkan belang parti DAP yang sebenar dengan tidak menghormati kesucian agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan di Malaysia seperti mana termaktub dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan. 

DUPP dengan ini mendesak Lim Kit Siang meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen di Dewan Rakyat serta disiasat oleh pihak berkuasa kerana cuba menimbulkan kebencian dan mengajak orang bukan-Islam untuk melakukan penghinaan dan perbuatan melampau terhadap agama Islam, lebih-lebih lagi mempersendakan Allah S.W.T. Insiden ini juga perlu diambil peringatan oleh mana-mana pihak yang bercita-cita untuk membina jajaran baru bersama DAP ini supaya berfikir lebih rasional dan mendalam akan implikasi yang menanti, khususnya berkait dengan agama Islam.

Beliau juga perlu memohon maaf atas tindakan biadabnya itu kepada Tuan Guru Presiden PAS dan rakyat Malaysia yang beragama Islam atas tindakannya yang tidak sensitif di kala rakyat dan kerajaan sedang berhempas pulas untuk menangani ujian pandemik COVID-19.

DUPP juga menyeru umat Islam untuk sentiasa Istiqamah mempertahankan agama Islam dan bersikap tegas dengan mana-mana pencerobohan dan penghinaan terhadapnya. Ketegasan ini selaras dengan Firman Allah S.W.T:

فمن اعتدى عليكم فاعتدوا عليه بمثل ما اعتدى عليكم

 “Oleh sebab itu barangsiapa yang menyerang kamu, maka seranglah ia, seimbang dengan serangannya terhadapmu.”

(al-Baqarah: 194)

“Ulamak Perteguh Muafakat”
“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 6/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/112140085517515/posts/4299754366756045/

- Advertisement -