Segerakan vaksin buat mahasiswa berkeperluan

- Advertisement -

BERDASARKAN Fasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, dijangkakan 9.4 juta rakyat Malaysia terdiri daripada warga emas, pesakit kronik dan OKU akan diberi keutamaan menerima suntikan vaksin dalam fasa 2 bermula April hingga Ogos 2021. Sehingga hari ini jumlah rakyat Malaysia yang mendaftar vaksin adalah 16,946,192 orang manakala jumlah yang telah mendapat suntikan dos pertama hanya sekitar 6,119,874.

Jumlah kes harian juga masih mencatat 4 angka iaitu sebanyak 6,982 kes baharu pada 2 Julai 2021. Hal ini sangat membimbangkan dan mencemaskan biarpun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) telah berkuatkuasa 1 Jun 2021 yang lalu.

- Advertisement -

GAMIS menyambut baik saranan daripada YAB Perdana Menteri agar disegerakan pemberian dos vaksin COVID-19 kepada seluruh rakyat agar kita cepat mencapai imuniti kelompok dan PKP tidak lagi berlanjutan yang hanya akan menimbulkan kegusaran kepada rakyat seluruhnya. 

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) harus lebih proaktif dan cakna dalam berfikir dan bertindak untuk menyelesaikan isu mahasiswa terutamanya berkaitan kebajikan dan keperluan pembelajaran. 

GAMIS berpandangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) harus cepat berhubung dalam menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) agar fasiliti PPV dapat dibuka di beberapa buah universiti lagi bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada rakyat. GAMIS juga ingin mencadangkan agar mahasiswa berkeperluan yang kini sedang berada di kampus dapat diberikan suntikan vaksin dengan segera.

Hal ini kerana mereka telah berada di kampus, maka proses pemberian suntikan vaksin itu pastinya dapat dimudahkan. Sekali gus dapat memberi sedikit kelonggaran SOP kepada mahasiswa yang berada di kampus bagi meneruskan pembelajaran mereka.

GAMIS juga menyarankan pemberian vaksin kepada golongan mahasiswa berkeperluan yang berada di pedalaman juga harus disegerakan kerana masalah capaian internet yang tidak berkesudahan merencatkan perjalanan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) sepanjang semester.

Mahasiswa sentiasa memerhatikan tindak-tanduk KPT dalam menyelesaikan isu yang berkaitan mahasiswa. Jangan lambat dalam tindakan sehingga akhirnya mahasiswa jua yang merana!

GAMIS merasakan adalah wajar golongan mahasiswa dan warga universiti atau institusi pendidikan seperti sekolah dapat disenaraikan sebagai golongan yang akan diberi keutamaan dalam penerimaan suntikan vaksin. Hanya dengan ini institusi pendidikan dan pengajian tinggi dapat dipulihkan dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih baik.

GAMIS mendoakan agar Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dapat dijalankan dengan baik dan mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang hujung tahun ini.

“Memimpin Kebangkitan Mahasiswa”

MUHAMMAD NURSYAHMI SHAARE
Pengerusi Majlis Politik Nasional
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) – HARAKAHDAILY 5/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/175982485876128/posts/2233508343456855/

- Advertisement -