PAS peneraju amal dan kebajikan

- Advertisement -

Oleh DATUK AWANG HASHIM

PAS sejak dari mula ditubuhkan sudah mula menyinar dalam soal kebajikan masyarakat. Mungkin akan ada yang berkata PAS sekarang sudah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, baru nampak kerja-kerja kebajikan yang dijalankan atau dianjurkan oleh PAS. Jika ada yang berkata demikian maka ia sebenarnya adalah salah dan tidak menyusuri sejarah PAS sejak dari awal penubuhannya hingga ke saat ini.

- Advertisement -

Sejak dari awal penubuhan PAS termasuk ketika dikategorikan sebagai parti pembangkang, PAS sudah sinonim dengan kerja-kerja kebajikan. Contoh yang paling jelas dikenali umum ialah ‘semut merah PAS’ atau Jabatan Amal Malaysia (JAM) yang sejak dari awal zaman penubuhannya hingga ke saat ini tetap membantu setiap lapisan masyarakat tanpa mengira ideologi, agama, bangsa atau kaum.

Sebut sahaja apa musibah yang melanda samada banjir, orang lemas atau hilang, kemalangan jalan raya, bantuan perubatan, membaiki dan membersihkan rumah serta pelbagai lagi bentuk kebajikan dan kerja amal yang dilakukan Jabatan Amal Malaysia, semuanya adalah ikhlas dan tidak mengharapkan sebarang imbuhan malah acapkali kebanyakan daripada anggota Jabatan Amal Malaysia mengeluarkan perbelanjaan sendiri demi membantu setiap lapisan masyarakat.

Pemimpin PAS pula sejak dahulu lagi cukup sinonim membantu setiap lapisan masyarakat tanpa mengira ideologi, agama, bangsa dan kaum. Bukan hanya ketika menjawat jawatan dalam kerajaan, malah ketika menjadi pembangkang dan tidak bergelar YB sama ada ADUN atau ahli Parlimen pemimpin PAS tetap berusaha membantu masyarakat walau kadang kala hampir habis wang dalam simpanannya.

Malah ketika menjadi pembangkang dahulu di mana kebanyakan pimpinan PAS diberikan peruntukan yang benar-benar sedikit berbanding ADUN atau ahli Parlimen Kerajaan, pemimpin PAS tetap berusaha membantu rakyat hingga kadang kala terpaksa menjual tanah, meminjam dari sahabat handai malah ada yang memajak serta menjual barang kemas isterinya hanya kerana berusaha membantu rakyat di kawasannya.

Jentera PAS seperti Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mahupun Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) acapkali turun padang menyusuri kampung, taman perumahan mahupun rumah pangsa hingga ke pedalaman seperti perkampungan Orang Asal menghulurkan pelbagai bentuk bantuan bagi membantu setiap lapisan masyarakat.

Malah Dewan Ulamak PAS Pusat juga kerap kali turun padang menghulurkan bantuan kepada setiap lapisan masyarkat bagi membantu meringankan beban mereka. Malah boleh dikatakan setiap lapisan jentera PAS senantiasa bersiap sedia membantu setiap lapisan masyarakat walau dalam apa jua keadaan tidak kira masa, tempat dan musim tanpa mengira ideologi, agama, kaum dan bangsa.

Kerja-kerja amal dan kebajikan yang dijalankan oleh PAS tidak bermusim malah boleh dikatakan setiap masa, bukan hanya ketika hampir pilihan raya, bukan hanya kerana hendak popular, bukan hanya kerana hendak nama, bukan kerana hendak menunjuk hebat kemudian rebut kuasa atau apa-apa kaitan dengan kebanggaan dunia, semua ikhlas demi membantu masyarakat.

Bukan hanya didalam negara, PAS juga turut menghulurkan bantuan di luar negara seperti di Palestin, Syria, Kashmir, Iraq dan banyak negara lagi terutamanya melalui Yayasan Amal Malaysia yang kerap kali berusaha menghulurkan sumbangan termasuk di dalam negara. Pendek kata, selain daripada sebuah parti politik yang disegani dan dihormati baik oleh rakan dan lawan, PAS juga bergerak sebagai sebuah organisasi amal dan kebajikan yang senantiasa membantu masyarakat.

Di saat wabak pandemik Covid-19 menular di dalam negara, wakil-wakil rakyat PAS mahupun pemimpin PAS tidak putus-putus menghulurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan. Sama ada mempunyai cukup peruntukan untuk membantu atau tidak dan dalam apa jua keadaan sekalipun, wakil-wakil rakyat PAS mahupun pimpinan PAS tampil membantu rakyat tanpa memilih lawan atau kawan.

Namun sebenarnya buat mana-mana negara ataupun kerajaan di dunia saat ini, di era moden ini, inilah kali pertama wabak sebegini besar melanda dunia dan tentunya ini adalah pengalaman kali pertama buat negara-negara mahupun kerajaan di dunia ini. Sudah pasti setiap negara dan kerajaan bertungkus lumus berusaha sedaya mampu untuk menghentikan penularan wabak Covid-19 ini dan pastinya menemui laluan yang cukup sukar kerana tidak pernah berdepan dengan situasi sebegini.

Disebabkan begitu besar skala wabak atau virus yang melanda dunia kali ini, kita boleh lihat di akhbar atau portal-portal media di seluruh dunia, setiap kerajaan mahupun negara bertungkus  lumus memikirkan cara dan keadah terbaik untuk menghentikan atau menghalang penularan wabak Covid-19. Sudah pastinya setiap negara dan kerajaan di dunia ingin mencapai kejayaan dalam menghentikan penularan wabak ini namum pastinya bukan cukup mudah.

Bukan sahaja sekali gelombang penularan wabak Covid-19 melanda dunia, tetapi telah masuk dua atau tiga kali gelombang baharu penularan wabak Covid-19 telah melanda majoriti negara di dunia dengan terdapat beberapa jenis atau variant baharu wabak Covid-19 yang sedang merebak dengan cukup pantas seperti variant Delta yang dikatakan mampu merebak dengan begitu pantas dan cepat menjangkiti manusia.

Dengan begitu dahsyat sekali keadaan yang sedang berlaku, usah begitu pantas menyalahkan sesiapa sekalipun. Saya pasti jika kerajaan-kerajaan terdahulu masih lagi memerintah negara ketika wabak ini berlaku, sudah tentu mereka bertungkus lumus cuba mengharunginya dan belum tentu lagi mereka dapat mengatasinya malah mungkin keadaan akan menjadi lebih buruk lagi.

Ketika ini cakap memang mudah, menulis di media sosial memang mudah tetapi untuk berkerja dan memikirkan kaedah terbaik menghentikan penularan wabak Covid-19 ketika ini, sejarah lalu tidak pernah menipu dengan apa yang berlaku ketika pemerintahan kerajaan terdahulu kerana jika mereka masih memerintah, saya lebih nampak jalan yang suram dari cerah. Maka jangan terpedaya dan terperangkap untuk kali kedua.

Oleh itu, jika anda berada di dalam satu kawasan DUN atau Parlimen yang diwakili oleh PAS, usah tunggu hingga kehabisan bekalan makanan atau bahan keperluan asas, tidak perlu angkat bendera putih, terus hubungi Pusat Khidmat DUN atau Parlimen kawasan terbabit atau terus pergi sahaja ke sana. Insya-Allah kami wakil rakyat daripada PAS akan bersedia membantu tidak kira akan mengundi kami atau tidak kerana anda berhak dibantu.

Jika wakil Parlimen atau DUN anda bukan dari PAS, akan ada pejabat penyelaras DUN atau Parlimen yang dibuka oleh pimpinan PAS setempat. Hubungi dan kunjungilah mereka, insya-Allah mereka sedia membantu. Jka tiada, hubungi atau carilah pemimpin PAS tempatan di kawasan anda, insya-Allah mereka akan sedia membantu anda.

Sebagaimana yang saya sebutkan tadi, PAS bukan hanya semata-mata sebuah organisasi politik tetapi PAS sejak awal penubuhannya hingga ke saat ini juga berperanan seperti sebuah organisasi kebajikan.

Di saat dimana ketika ini ramai dalam kalangan kita yang benar-benar memerlukan bantuan seperti bahan keperluan asas, makanan dan juga wang ringgit demi untuk kelangsungan hidup sama ada untuk diri sendiri dan keluarga, jika ada dalam kalangan jiran, rakan, sahabat handai dan mungkin juga ahli keluarga yang memerlukan bantuan, usah biar mereka kesusahan dan menderita.

Hubungilah Pejabat Wakil Rakyat PAS di kawasan anda atau mana-mana pemimpin PAS setempat, insyallah kami sedia membantu dan berkhidmat kerana kita semua bersaudara tidak kira siapa. Sebagaimana kami semua ahli PAS diajar, diasuh dan ditarbiah ketika masih muda “Beriman Kepada Allah, Beramal Kerana Allah“, semuanya untuk mendapat keredhaan dan keberkatan Allah SWT. – HARAKAHDAILY 3/7/2021

- Advertisement -