Rehda bantu warga emas di pedalaman daftar vaksinasi

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

TANAH MERAH: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menyedia inisiatif pengisian maklumat melalui ‘google form’ bagi membolehkan warga emas di kawasan pedalaman mendaftar vaksinasi Covid-19.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi Rehda Kelantan, Dato’ Samsuri Awang Mat berkata, inisiatif tersebut dilakukan pihaknya melalui RehdaCare sebagai khidmat masyarakat dalam tempoh pandemik Covid-19.

Katanya, alamat ‘google form’ berkenaan disediakan untuk memudahkan kumpulan warga emas membuat pendaftaran vaksinasi.

“Memandangkan mereka sering berdepan pelbagai kekangan terutamanya pendaftaran atas talian, pihak kami mengambil keputusan untuk mengadakan inisiatif ini.

“Warga emas kadang-kadang tiada telefon mudah alih yang canggih, mereka pun tidak pandai untuk membuat pendaftaran sendiri.

“Jadi kita buat alamat ‘google form’ untuk diberikan kepada keluarga mereka,” ujarnya selepas meninjau Program Outreach Covid-19 di Klinik Kesihatan Gual Ipoh dekat sini, semalam.

Hadir sama Pegawai Kesihatan Daerah Tanah Merah, Dr Ahmad Faris Awang.

Samsuri yang juga Pengerusi RehdaCare Negeri berkata, anak-anak mereka yang berada di luar Kelantan boleh mengisi borang berkenaan untuk diserahkan kepada Rehdacare.

Tambah beliau pihaknya akan memaklumkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai perkara tersebut.

Menurutnya juga, kira-kira 95 peratus daripada penduduk yang hadir menerima vaksinasi di Klinik Gual Ipoh berkenaan dianggap hasil kerjasama dilaksanakan RehdaCare.

“Sebelum ini, pihak KKM kena telefon setiap seorang untuk memastikan mereka hadir dan mahu divaksin.

“Berlainan pula dengan pendekatan ini, senarai yang kami berikan itu memang sudah ditapis iaitu betul-betul mahu dan layak menerima vaksinasi berkenaan,” katanya.

Samsuri juga berkata, usaha itu dibuat sejak sebulan lalu bagi membantu warga emas dan KKM. – HARAKAHDAILY 2/7/2021

- Advertisement -