Islam jika difahami mudah diamalkan

- Advertisement -

KEISTIMEWAAN Islam ialah terletak kepada sifatnya yang thabat yakni tetap pada prinsip-prinsip asas dan mutaghayyirat iaitu boleh berubah pada perkara-perkara cabangan. Cuma perlu ditegaskan bahawa Islam bukanlah sewenang-wenangnya boleh berubah hukum-hakamnya tanpa apa-apa syarat atau sebab yang munasabah.

Disebabkan ramai yang hanya ‘tahu’ mengenai Islam tetapi tidak faham akan prinsip-prinsip hukum yang telah ditetapkan maka Islam dilihat sebagai agama yang menyusahkan, sempit dan tidak berkembang. Islam jika difahami secara ilmu, dilihat praktikalnya dan dikaji sejarahnya maka sudah pasti golongan yang salah faham akan menilai semula tanggapan mereka. Rasulullah S.A.W bersabda:

- Advertisement -

“مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُقَقِّهْهُ فِي الدِّين”. رواه البخاري (71) ومسلم (1037)

“Barangsiapa yang Allah kehendaki baginya kebaikan, akan diberikan kefahaman pada agama.”


(Hadis Riwayat Imam al-Bukhari (71) dan Muslim (1037))

Secara asasnya syariatnya Islam yang berkait dengan akidah, ibadah dan akhlak tidak berubah semenjak ia diwahyukan kepada Nabi Muhammad S.A.W. Soal ketauhidan Allah Taala, keimanan kepada para malaikat, kitab-kitab, para Rasul, hari kiamat dan keimanan kepada qadha dan qadar adalah tetap tidak berubah.

Begitu juga soal kefardhuan solat, zakat, puasa dan haji adalah tetap wajib dilaksanakan oleh Muslim yang cukup syarat-syaratnya. Termasuklah soal halal dan haram tidak berubah hukumnya. Namun begitu dari segi praktikal kehidupan manusia ada perkara-perkara yang tidak disebut secara jelas dalam nas sama ada al-Quran mahupun Hadis dan ada perkara yang perlu dilihat kondisi manusia sebagai mukallaf dalam melaksanakannya. Di sinilah terletaknya keistimewaan syariat Islam.

Solat fardu misalnya, hukumnya adalah kekal wajib meskipun dalam keadaan tertentu pelaksanaannya berubah seperti ketika bermusafir atau sakit. Zakat fitrah pula walaupun mesti dikeluarkan makanan asasi mengikut masyarakat setempat tetapi boleh dikeluarkan nilai berdasarkan kepada realiti dan keperluan.

Bagi menjelaskan prinsip hukum ini para ulamak telah menggariskan satu kaedah fiqh iaitu:

لَا يُنْكَرُ تَغَيُّرُ الأحْكَامِ بِتَغَيُّرِ الأزْمَانِ

“Tidak diingkari berlakunya perubahan hukum-hakam dengan berubahnya masa.

Syeikh Mustafa Al-Zarqa’ dalam syarahan beliau ke atas kaedah ini berkata: 

“Tidak diingkari berlakunya perubahan hukum-hakam dengan berubahnya masa, iaitu berlaku perubahan ‘uruf penduduk sesebuah kawasan serta adat mereka. Sekiranya ‘uruf dan adat membawa kepada suatu hukum, kemudian keduanya tersebut berubah kepada ‘uruf dan adat yang lain, maka hukum juga berubah kepada apa yang menepati ‘uruf dan adat yang baharu itu.”

Beliau berkata lagi: 

“Perkara ini (perubahan hukum disebabkan perubahan masa) merupakan suatu perkara yang diperakukan, diterima pakai lagi tsabit. Dan merupakan Sunnatullah dalam pensyariatan kepada hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya ketika bermulanya penciptaan manusia dan keadaan pada ketika itu dalam suasana kesempitan disebabkan sedikitnya bilangan zuriat, Allah Taala membenarkan pernikahan seorang perempuan dengan adik beradik lelakinya, serta memberikan keluasan dalam beberapa perkara. Hukum tersebut kekal sehinggalah keturunan semakin banyak dan meluas, lalu perkahwinan antara adik beradik kandung diharamkan pada ketika itu.”

(Kitab Syarah Al-Qawa’id Al-Fiqhiyyah, Mustafa Al-Zarqa (Hlm. 227 – 228)

Kesimpulannya, jika Islam difahami secara betul berpandukan sumber-sumbernya yang asli dan dipandu oleh ijtihad para alim ulamak muktabar, maka pelaksanaannya akan menjadi mudah dan juga mudah diterima oleh orang bukan-Islam.

Tetapi sebaliknya jika Islam cuba difahami tanpa merujuk kepada sumber asalnya dan tidak pula berpedomankan daripada para alim ulamak maka bukan sahaja orang bukan-Islam sukar menerimanya malah orang Islam sendiri juga boleh menjadi terkeliru dan mengelirukan.

USTAZ ZURIDAN MOHD DAUD – HARAKAHDAILY 2/7/2021

- Advertisement -