Pedoman Al-Quran: Elak tipu daya syaitan dan kejahilan diri

Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob
- Advertisement -

KITA telah berada pada hari terakhir Ramadhan pada tahun ini. Setelah 30 hari kita berpuasa dan membuat penghayatan terhadap ayat-ayat Al-Quran dengan memfokuskan bab adab dan tasauf yang perlu dihayati oleh seluruh umat Islam. Pada hari ini penghayatan ayat berkisar tentang perjalanan hidup manusia yang telah diberi kesempurnaan pada ciptaannya tetapi dalam kalangan mereka ada yang menderhaka kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam hal ini:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلۡإِنسَـٰنُ مَا غَرَّكَ بِرَبِّكَ ٱلۡكَرِیمِ. ٱلَّذِی خَلَقَكَ فَسَوَّىٰكَ فَعَدَلَكَ. فِیۤ أَیِّ صُورَةࣲ مَّا شَاۤءَ رَكَّبَكَ

Maksudnya: “Wahai manusia, apakah yang memperdayakanmu (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah? Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama dengan kekuatannya. Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendaki-Nya, Dia menyusun kejadianmu”. (Al-Infithor: 6-8)

- Advertisement -

Allah SWT menggunakan lafaz Rabb dalam ayat tersebut kerana hendak mengingatkan kita tentang sifat-Nya yang sentiasa menjaga dan mengurus kehidupan dan kematian manusia. Walaupun Allah telah kurniakan segalanya kepada manusia dengan menyatakan sifat-Nya Al-Karim iaitu yang mulia juga pemurah tetapi dalam kalangan manusia itu tetap ada yang menderhaka kepada-Nya.

Sesungguhnya rahmat Allah terhadap makhluk manusia terlalu banyak. Dia berkuasa untuk menciptakan nuthfah (air mani) menjadi manusia yang buruk rupanya seperti haiwan akan tetapi dengan kasih sayang-Nya, Allah menciptakan manusia dalam bentuk yang baik, seimbang, sempurna dan indah penampilan serta rupanya. Namun, perkara apa yang telah memperdayakan manusia sehingga melanggar aturan Allah bahkan menentang agama-Nya? Hal ini telah diberitakan oleh Rasulullah SAW menerusi sebuah hadis:

عَنْ بُسْر بْنِ جحَاش الْقُرَشِيِّ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَصَقَ يَوْمًا فِي كَفِّهِ، فَوَضَعَ عَلَيْهَا أُصْبُعَهُ، ثُمَّ قَالَ: قَالَ اللَه عَزَّ وَجَلَّ: ابْنَ آدَمَ أنَّى تُعجِزني وَقَدْ خَلَقْتُكَ مِنْ مِثْلِ هَذِهِ؟ حتى إِذَا سَوّيتك وَعَدَلْتُكَ، مَشَيْتَ بَيْنَ بُرْدَيْنِ وَلِلْأَرْضِ مِنْكَ وَئِيدٌ، فجَمَعت ومَنعت، حَتَّى إِذَا بَلَغَتِ التَّرَاقِي قلتَ: أتصدقُ، وأنَّى أوانُ الصَّدَقَةِ؟

Maksudnya: “Daripada Busr ibnu Jahasy Al-Qurasyi, bahawa suatu hari Rasulullah SAW meludah pada tapak tangannya, lalu meletakkan jari pada ludahannya itu seraya bersabda: Allah SWT berfirman: Hai anak Adam, bagaimana engkau selamat dari (azab) Ku, Aku telah menciptakanmu daripada sesuatu seperti ini (hina seperti ludahan ini). Sehingga engkau telah Aku sempurnakan bentukmu dan Aku jadikan engkau berdiri tegak, lalu engkau dapat berjalan dengan mengenakan sepasang kain burdahmu, sedangkan di bumi engkau telah mempunyai tempat kuburan, kemudian engkau menghimpun harta benda dan enggan memberinya (bersedekah). Hingga ruh sampai dipangkal kerongkongmu, baru engkau katakan: Aku akan bersedekah. Dimanakah masa untuk bersedekah (saat itu)? (Riwayat Imam Ahmad)

Manusia sememangnya suka bertangguh melaksanakan kebaikan melainkan orang yang sentiasa menjaga imannya. Mengikut mufassirin berdasarkan ayat di atas, sikap bertangguh ini adalah akibat tipu daya syaitan, kegersangan jiwa dan kejahilan manusia itu sendiri. Oleh yang demikian, manusia perlu mempunyai prinsip kehidupan dengan meletakkan matlamat hidup atas muka dunia secara jelas. Matlamat keberadaan manusia di muka bumi adalah semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Seterusnya manusia itu mesti berlandaskan ilmu dalam setiap gerak kerjanya. Tanpa ilmu manusia akan tersesat jalan berada dalam kejahilan. Melalui ilmu pengetahuan, manusia dapat menghayati kebesaran Allah melalui penciptaan diri mereka sendiri. Jika diteliti kekuasaan Allah dalam mencipta anggota fizikal manusia terutama cap jari, ia sangat menakjubkan. Menerusinya ia boleh menjadi pengenalan individu untuk mencari jalan penyelesaian dalam sesuatu permasalahan dan jenayah. Begitulah juga pada penciptaan anggota badan yang lain, terlalu banyak hikmah dan kebesaran Allah jika dikaji secara teliti.

Di sinilah betapa perlunya manusia terhadap bimbingan wahyu, yang sebenarnya sudah ada di hadapan mata mereka. Al-Quran dan Al-Sunnah wajib dijadikan perlembagaan hidup setiap insan sebelum ianya dinobat sebagai perlembagaan negara. Sesebuah negara dengan sendirinya menjadikan panduan wahyu sebagai perlembagaan apabila seluruh masyarakat Islam telah berpegang teguh kepada Al-Quran dan Al-Sunnah. Manusia akan berpedoman dan hidup di bawah lembayung Ilahi serta tidak akan sesat selamanya selagi berpegang kepada tuntutan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
30 Ramadhan 1442/12 Mei 2021 – HARAKAHDAILY 12/5/2021

- Advertisement -