Putuskan adu domba DAP seperti lawan COVID-19

- Advertisement -

DI WAKTU saya menulis artikel ini besar kemungkinan PKP ‘Lockdown’ 3.0 yang berakhir 28 Jun ini akan dilanjutkan. Ini kerana kadar kes positif COVID-19 masih berlegar sekitar 5,000 lebih kes (27 Jun sahaja masih 5,586 kes). Namun dalam waktu yang sama kita lihat jumlah mereka yang telah menerima vaksin juga semakin meningkat naik.

Setakat Jumaat 25 Jun 2021, lebih 7 juta rakyat Malaysia telah menerima suntikan vaksin masing-masing iaitu 1,966,358 telah selesai dua dos manakala 5,072,714 telah menerima satu dos. Kita mengharapkan dengan semakin meningkatnya angka vaksinasi ini, sasaran negara untuk mewujudkan imuniti kelompok akhirnya akan tercapai sebelum penghujung tahun ini dan dengan itu kadar yang positif juga dijangka semakin menyusut dan rakyat dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala.

- Advertisement -

Namun dalam menghadapi PKP lanjutan yang tidak dapat dielakkan ini, pihak kerajaan perlulah segera menimbangkan beberapa langkah meringankan beban rakyat dan para peniaga kecil dan sederhana. Ternyata ramai yang terkesan akibatnya namun rakyat tetap menerimanya walau dengan berat hati kerana mahu bersama berkorban ke arah membanteras pandemik ini.

Semoga bantuan kewangan, subsidi, moratorium dan lain-lain dapat segera dilaksanakan demi meringankan beban rakyat yang selama ini cukup baik bekerjasama dengan langkah-langkah yang dikenakan kerajaan.

Sementara itu tuntutan agar Parlimen bersidang juga telah diterima baik pihak kerajaan atas titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu. Semoga pembukaan Parlimen ini kelak dapat mengumpulkan idea dan saranan yang boleh menyumbang ke arah memerangi pandemik ini yang seharusnya menjadi fokus dan tumpuan semua pihak.

Gunakanlah Dewan Rakyat nanti untuk membantu rakyat. Memberi saranan yang konstruktif dan bermanfaat agar negara dapat segera pulih dan rakyat selamat menjalankan aktiviti dan kehidupan mereka. Rakyat mahukan sesuatu yang positif dan boleh memanfaatkan mereka. Parlimen bukan gelanggang untuk menunjuk ego dan kejantanan masing-masing terutama di saat mencabar ini.

Kita sedang menghadapi ujian besar, maki hamun dan caci cerca tidak langsung menyumbang ke arah memulihkan nestapa rakyat. 

Malanglah jika Ahli-ahli Parlimen berlumba-lumba untuk berbuat demikian jika pintu Parlimen dibuka nanti. Gelagat dan kelakuan anda diperhatikan rakyat, jangan sampai rakyat meluat dan menolak anda dalam PRU nanti.

Tetapi sehingga hari ini tidak nampak pun sesuatu yang positif yang datang dari pihak pembangkang yang boleh dimanfaatkan dalam kita menghadapi pandemik ini. Malah di Negeri Selangor di mana PH memerintah saban hari kadar jangkitan virus ini kekal di paras yang tertinggi dalam negara, gunakanlah apa alasan sekalipun untuk berhujah balas, realitinya Kerajaan PH Selangor terbukti gagal dan tidak dapat terbit dengan idea yang bernas untuk mengurangkan kadar jangkitan di negeri mereka sendiri.

Rakyat menanggung derita dan terhimpit kehidupan mereka lantaran pandemik ini tetapi orang-orang politik khasnya dari PH lebih ghairah dan bernafsu untuk menangguk di air keruh, mencuri kesempatan untuk konon-kononnya mahu kembali berkuasa di peringkat pusat. Setiap kenyataan yang keluar dari pimpinan mereka lebih kepada mengambil alih kuasa, menjadi Perdana Menteri langsung tidak prihatin dari hal permasalahan rakyat yang bukannya mahu tukar kerajaan tetapi mahu melawan COVID-19.

Seolah mereka punya kuasa ajaib, jika diberi kuasa, pandemik ini akan terhapus dan negara bakal mengalahkan dunia lain, terus pulih seperti biasa. Janji-janji seumpama ini bukannya asing buat rakyat, bukankah mereka juga dalam PRU14 dahulu menjanjikan bulan dan bintang, tetapi apabila diberikan kuasa, segalanya gagal dan rakyat tertipu selama 22 bulan.

Terbaru mereka terus mengadu-domba mencetuskan ketidak-tentuan dan gundah gulana di hati rakyat yang sedia sudah terbeban dengan wabak ini. Dalam satu portal berita AJK Pusat DAP yang juga ADUN Selangor, Ronnie Liu dilaporkan mengajak Umno, iaitu parti yang membentuk Kerajaan Pusat hari ini untuk bersama pula PH membentuk jajaran politik baru kononnya untuk menyelamatkan rakyat dan negara.

Kata Ronnie: “Jadi dua-dua (belah) penyokong perlu berlapang dada dan melihat isu lebih besar (iaitu) menyelamatkan negara berbanding melihat perseteruan silam antara Umno dan PH. Orang DAP, PAN, PKR, Umno kena ketepikan perasaan atau apa yang berlaku pada masa lampau. Dulu kita pernah kerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad (dan) berjaya jatuhkan Najib Razak, sekarang apa salahnya kita bersama-sama menjatuhkan kerajaan Muhyiddin sebab sudah gagal?”

Terbukti Ronnie sebenarnya cuba melaga-lagakan Umno dengan kawan-kawannya sama ada dalam kerajaan di mana Umno memegang jawatan Menteri-menteri Kabinet atau dalam permuafakatan politik bersama PAS dalam Muafakat Nasional. Bagi saya beliau cukup biadab dan cuba untuk merendah-rendahkan harga diri dan maruah orang-orang Umno yang sebelum ini dalam Perhimpunan Agung mereka telah terang-terang menolak DAP dan PKR.

Bukannya orang Umno tidak mengenal DAP apatah lagi Ronnie sendiri. Sanggup dan tergamakkah Umno sebagai parti Melayu Islam terbesar dalam negara untuk di saat mencabar ini menghulurkan tangan persahabatan kepada DAP, musuh ketat ummah, demi menjalin kerjasama politik menjatuhkan kerajaan yang sama-sama kita bina ini? 

Lihat Ronnie sendiri akui terang-terangan bahawa dengan kerjasama Dr Mahathir merekalah yang telah berjaya jatuhkan Dato Seri Najib Tun Razak, siapakah Najib jika bukan Presiden Umno ketika itu? Sanggupkah Umno bersekongkol pula dengan anasir yang sama yang dahulunya terlibat dalam menjatuhkan mereka?

Sememangnya tergadailah maruah perjuangan bangsa jika akhirnya Umno bersekongkol dengan puak yang mencabar kedaulatan ummah ini. Kerana itu kita langsung tidak yakin dengan kononnya jajaran baru yang diimpikan Ronnie itu 

Tambah-tambah dalam keadaan pasca PRU14 umat Melayu Islam telah bersepakat dan bermuafakat menggerakkan penyatuan kuasa politik umat Melayu sehingga terbinanya Muafakat Nasional yang telah menyatukan dua parti politk Melayu Islam terbesar dalam negara iaitu PAS dan Umno.

Umat Melayu Islam rata-rata mahukan penyatuan kuasa politik ini yang diyakini, mampu membela nasib dan masa depan mereka. Kerana itu tidak berbangkit sama-sekali di saat dan peringkat ini untuk mana-mana kuasa politik Melayu bekerjasama dengan DAP dalam apa bentuk sekalipun kecuali mereka nanti bakal dihukum seberat-beratnya oleh anak-anak bangsa sendiri.

Sebagaimana melawan pandemik ini kita juga mesti konsisten melawan apa sahaja usaha untuk PH yang didominasi DAP untuk kembali berkuasa. Tak Melayu mengangkat DAP kembali berkuasa.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 1/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100009880363600/posts/1543198146019516/

- Advertisement -