KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan memberi sagu hati kepada peneroka Felda Kerteh 4 di Dungun yang mengalami kerugian setelah haiwan ternakan mereka mati diserang harimau sejak 2019.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu Dr Azman Ibrahim berkata sagu hati itu akan diberi melalui Tabung Bencana Pertanian.
“Jumlahnya akan dimuktamadkan dalam mesyuarat namun tidaklah begitu besar berbanding kerugian yang mereka alami. Harapan kami (pemberian) sagu hati ini dapat menaikkan motivasi mereka untuk terus terlibat dalam bidang penternakan walaupun mengalami pelbagai cabaran,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sejak 2019, sebanyak 240 ekor lembu milik lebih 60 penternak di Felda itu mati akibat serangan harimau dan kejadian terbaru pada dua minggu lepas.
Dr Azman berkata beliau juga telah turun padang bertemu wakil penternak di Felda tersebut petang semalam untuk mengetahui perkembangan terbaru usaha Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menangkap harimau itu.
“Difahamkan, Perhilitan berjaya merakam pergerakan seekor ibu harimau bersama empat anaknya dianggarkan berusia dua tahun melalui pemasangan kamera ‘infra red’. Serangan yang berlaku selama ini adalah satu bentuk latihan untuk anaknya memburu kerana lembu yang diserang tidak dimakan.
“Selain itu, saya dimaklumkan Unit Khas Perhilitan Terengganu telah berkampung di ladang tersebut untuk melakukan pemantauan 24 jam sejak Mei lalu, memasang perangkap dan mengehadkan pergerakan keluar masuk peneroka di ladang itu,” katanya.
Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata operasi menangkap harimau itu perlu dilakukan berhati-hati dengan mengambil kira keselamatan peneroka dan penternak serta pada masa sama memastikan haiwan tersebut tidak cedera dan dapat dipindahkan ke tempat lain dengan selamat. – BERNAMA