KPWKM tingkat kecekapan penyampaian perkhidmatan

Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menganjur sesi libat urus bersama ahli Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Timbalan Menteri kementerian terbabit Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, sesi itu diharap dapat mengumpul maklum balas serta cadangan penambahbaikan untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan penyampaian perkhidmatan KPWKM dan JKM.

Katanya, tujuan sesi libat urus tersebut juga untuk berkenalan dengan barisan Pengerusi Ahli Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) yang baharu dilantik.

- Advertisement -

“Selain itu menyampaikan amanat mengenai bidang tugas, peranan dan tanggungjawab PPKK,” katanya pada catatan di media sosialnya hari ini.

Sesi libat urus itu diadakan secara atas talian melibatkan 260 pengerusi PPKK seluruh Malaysia.

Turut hadir pegawai kanan kementerian terbabit, pegawai kanan JKM Malaysia, pengarah dan pegawai Bahagian Kanak-kanak JKM Malaysia serta Pengarah JKM negeri-negeri.

Siti Zailah juga berkata, seramai 983 ahli PPKK dilantik bagi tempoh 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2023 di seluruh negara.

“Bagi pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, saya ingin mengucapkan penghargaan dan sekalung tahniah kepada semua Ahli PPKK yang baru dilantik pada sesi ini,” ujarnya.

Menurutnya KPWKM sangat menghargai keprihatinan semua Ahli Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) bagi menjaga kepentingan dan kesejahteraan kanak-kanak.

Pasukan itu juga merupakan salah satu daripada kumpulan sasar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. – HARAKAHDAILY 1/7/2021

- Advertisement -