PEMULIH bantu segenap lapisan masyarakat terkesan PKP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Inisiatif Pakej Pemulihan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dilihat sebagai inisiatif bantuan yang merangkumi segenap lapisan masyarakat, terutamanya mereka yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Dzulkifli Mohamad al-Bakri, PEMULIH juga dilihat memberi manfaat kepada golongan rentan, para asnaf, para graduan, belia dan usahawan, peniaga kecil, dan pengusaha perusahaan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Justeru itu katanya, memahami hasrat kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat terjaga, pihaknya akan meneruskan usaha sedia ada melalui Bantuan Musaadah Covid-19 yang digerakKan Jabatan Perdana Menteri itu sejak Mac 2020.

- Advertisement -

“Bermula 1 Januari sehingga 28 Jun 2021, Musaadah Covid-19 telah membelanjakan sebanyak RM160.4 juta untuk membantu golongan terkesan.

“Jumlah keseluruhan perbelanjaan dan agihan sejak Mac 2020 sehingga Jun 2020 sudah melebihi RM0.5 bilion.

“Agihan bantuan ini ialah dalam bentuk wang tunai, dana perniagaan, latihan kemahiran, bank makanan, makanan sedia untuk dimakan, wakaf kesihatan (katil di ICU, monitor di ICU.

“Pam picagari, pam infusi, mesin BIPAP, ventilator di ICU, ventilator di rumah, katil dan peralatan perubatan lain), projek baik pulih serta bina rumah, bantuan komputer riba dan sebagainya,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambahnya, Musaadah Covid-19 diwujudkan dengan tujuan yang sama dengan PEMULIH dan pakej bantuan kerajaan yang lain.

Ianya bagi memastikan para asnaf dan penerima manfaat mempunyai wang untuk berbelanja, serta meneruskan kehidupan sepanjang tempoh PKP.

Kata beliau, musaadah mempunyai matlamat meringankan bebanan yang perlu ditanggung golongan asnaf dan penerima manfaat akibat kehilangan pendapatan semasa fasa pemulihan.

Dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun itu, beliau percaya lebih ramai para asnaf dan golongan terkesan yang menerima manfaat dan diringankan bebannya.

Justeru itu katanya, bantuan musaadah tetap akan diteruskan bagi memastikan tidak ada rakyat terkesan yang tercicir dan tertinggal dari dibantu.

Hal ini kerana ia menjadi tanggungjawab sesebuah kerajaan untuk memastikan rakyat mampu meneruskan kehidupan walau dalam tempoh sukar.

Katanya lagi, pihaknya akan memastikan mereka yang layak menerima bantuan, tidak akan tercicir dari menerima bantuan tersebut.

“Jutaan terima kasih diucapkan kepada YAB Perdana Menteri, atas kesediaan dan komitmen mengumumkan pakej bantuan besar dan menyeluruh ini.

“Inilah yang saban hari dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, bagi mengurangkan beban dan keluh kesah rakyat dalam menghadapi kehidupan semasa fasa pemulihan pandemik.

“Dengan inisiatif ini, rakyat akan terus dapat berbelanja dan memastikan adanya makanan di atas meja untuk meneruskan kelangsungan hidup di saat yang sukar dan mencabar.

“Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar pandemik Covid-19 terus diangkat dari bumi Malaysia.

“Semoga kehidupan rakyat akan kembali seperti sediakala, serta mampu meneruskan agenda memacu kemajuan dan ekonomi negara menuju sebuah negara yang rabbani, maju dan lestari.

“Disamping ikhtiar, sentiasalah kita meningkatkan iman dan taqwa kepada-Nya kerana itulah janji Allah SWT bagi dibuka pintu-pintu rezeki,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2021

- Advertisement -