Pusat Pengurusan Tekanan tangani kesihatan mental

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Pusat Pengurusan Tekanan dicadang diwujudkan berperanan sebagai pusat sehenti bagi merawati kes-kes berkaitan kesihatan dan penyakit mental.

Ketua Dewan Ulamak PAS Perlis Ustaz Idris Yaacob berkata, pusat itu bagi memudahkan rakyat yang menghadapi masalah mendapat khidmat nasihat pakar.

Selain itu katanya institusi masjid juga boleh memainkan bagi membendung gejala tersebut di mana perlu diaktifkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

- Advertisement -

“Dewan Ulamak sedia mengadakan kerjasama dengan semua pihak bagi mencari jalan terbaik untuk membendung kejadian bunuh diri akibat tekanan mental daripada terus meningkat,” katanya pada kenyataan hari ini.

Pandemik Covid-19 dikatakan memberi impak terhadap kesihatan mental sehingga jumlah kes bunuh diri sepanjang tahun lalu meningkat kepada 631 kes berbanding 609 kes pada 2019.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini dilapor memberitahu sebanyak 366 kes bunuh diri dilapor kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiga bulan pertama tahun ini.

Idris juga berkata, Dewan Ulamak PAS Perlis menzahirkan kebimbangan stastistik kes bunuh diri di Malaysia yang menular ibarat barah sekarang.

Katanya, sekarang hampir setiap hari ada kes berkenaan di media-media utama dalam atau luar negara.

“Gangguan kesihatan mental merupakan faktor utama seseorang individu tidak akan dapat berfikir secara rasional dan boleh bertindak di luar kawalan.

“Secara khususnya perkara ini perlu ditangani pihak berwajib di bawah agensi kebangsaan seperti perkhidmatan Talian Kasih yang beroperasi 24 jam untuk membantu masyarakat,” katanya.

Selain itu usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mewujudkan Dasar Kaunseling Negara bagi mengekang isu kesihatan mental dianggap sebagai langkah terbaik bagi memperkukuh khidmat kaunseling.

“Namun semua pihak sebenarnya mempunyai peranan yang besar dalam mengatasi kes bunuh diri dan perlu sentiasa mengambil berat akan tahap kesihatan mental masing-masing.

“Kita juga sentiasa komited untuk membantu jika diperlukan agensi kerajaan atau bukan kerajaan yang terlibat dalam usaha menangani masalah kesihatan mental di negara ini,” ujarnya.

Antara lain, kata beliau agama Islam jelas melarang keras membunuh diri kerana ia bukan jalan penyelesaian terbaik.

“Begitu juga dengan agama-agama lain turut melarang penganut mereka membunuh diri. Sungguhpun tiada kes di Perlis berbanding bandar-bandar besar lain, namun jangan disangka air yang tenang tiada buaya,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/6/2021

- Advertisement -