Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
BACHOK: Penduduk golongan B40 yang kehilangan sumber pendapatan hanya bergantung harap sumbangan bakul makanan diagihkan wakil rakyat dan NGO.
Mereka tidak segan untuk mendapat bantuan bakul makanan di Pusat Khidmat Dun (PKD) Tawang bagi meneruskan kelangsungan hidup keluarga.
Namun kini mereka berkongsi gembira selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Bantuan Khas Covid-19 bagi penduduk miskin tegar yang akan menerima bantuan sebanyak RM1,300.
Bantuan itu melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) akan diterima sebanyak RM500 pada Ogos dan November, manakala bakinya RM300 (Disember).
Seorang buruh pembinaan Mohd Zamani Che Mat, 47 berkata beliau gembira selepas menerima khabar ada bantuan kerajaan bagi membantu rakyat terjejas ekoran penularan wabak Covid-19.
Menurutnya, dia tidak bekerja sejak kerajaan melaksanakan PKP3.0 sebulan lalu.
“Berita pakej PEMULIH memberi sedikit kelegaan bagi kami yang bekerja sebagai buruh binaan,” katanya di sini.
Mohd Zamani meluahkan perasaan gembira dengan pengumuman kerajaan memandangkan beliau sudah tidak lama bekerja sejak pelaksanaan PKP3.0.
“Kami juga menerima bantuan makanan keperluan harian daripada Adun Tawang yang banyak bantu rakyat terjejas dengan wabak Covid-19,” katanya.
Seorang lagi penduduk Mamat Sulaiman, 70 turut menyambut baik dan bersyukur dengan pelaksanaan pakej PEMULIH yang diumumkan Perdana Menteri.
Kata beliau sejak pelaksanaan PKP3.0 pada awal Jun lepas beliau tidak boleh melakukan kerja kerana bimbang dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
“Saya juga menerima bantuan makanan disediakan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Tawang. Bantuan kerajaan dapat meringankan beban rakyat,” katanya.
Penghulu Mukim Jembal Abdullah Daud turut menyambut baik pelaksanaan PEMULIH kerana dapat membantu rakyat rakyat yang terhimpit dengan kesukaran sekarang.
Beliau berkata, antaranya moratorium enam bulan akan diberi kepada semua pemimjam individu termasuk golongan B40, M40 atau T20 serta usahawan kecil dan sederhana.
“Pengumuman Pemulih yang bernilai RM150 bilion dengan pelbagai manfaat dan program sangat baik kerana ia memberi manfaat kepada rakyat ketika pandemik Covid-19.
“Ketika ini ramai rakyat tidak boleh bekerja khususnya buruh binaan, banyak keluarga terjejas dan kita sebagai penghulu memainkan peranan memastikan tiada keluarga tidak dapat bantuan,” katanya.
Sementara itu Adun Tawang Dato’ Hassan Mohamood berkata, PEMULIH yang bernilai RM150 bilion dianggap mampu memberi kelegaan kepada rakyat bagi mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Katanya pengumuman kerajaan itu tepat pada masanya bagi membantu rakyat yang terjejas untuk meneruskan kehidupan.
“Tetapi kadang-kadang rakyat tidak faham, dia tanya yang mana bantuan negeri, sedangkan bantuan antara kerajaan boleh sekali, hak persekutuan pun hak kerajaan juga,” katanya ketika ditemui di Kompleks Masjid Daruttarbiah, Wakaf Zin semalam.
Kerajaan negeri sebelum ini menyumbangkan RM2.7 juta menerusi Pakej Bantuan Cakna Rakyat Covid-19 bagi membantu golongan terkesan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP 3.0.
Sebanyak RM60,000 disediakan bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri bagi menyediakan bakul makanan. – HARAKAHDAILY 30/6/2021