Apa pun situasi jangan bunuh diri

- Advertisement -

SUDAH setahun lebih kita diuji oleh Allah dengan wabak COVID-19. Ia amat menyukarkan kelangsungan kehidupan seharian dalam jangka masa yang lama. Namun sebagai hamba Allah, kita redha dengan ketentuanNya, dalam masa sama, terus berusaha melawan COVID-19 dan bersabar menghadapinya, tanpa putus asa dengan rahmat Allah yang luas dan tidak akan pernah habis. Allah berfirman:

- Advertisement -

وَرَحۡمَتِي وَسِعَتۡ كُلَّ شَيۡءٖۚ 

“Dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu.”

(al-A`raf: 156) 

Selagi dunia belum berakhir, maka itulah peraturannya. Dunia adalah tempat Allah menguji hambaNya dengan pelbagai ujian. Antaranya Allah nyatakan:

وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَيۡءٖ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصٖ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَٰلِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّٰبِرِينَ ١٥٥ 

“Dan pasti Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, kematian jiwa dan kekurangan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”

(al-Baqarah: 155)

Justeru, hadapilah ujian dunia ini dengan tenang, penuh kesabaran dan meletakkan pengharapan yang tinggi kepada Allah, agar dikurniakan jalan keluar dari segala kesempitan dan kesukaran kehidupan. Jangan lupa Allah, nanti Allah lupakan kita. Tenangkan jiwa dengan banyak berzikir kepadaNya:

أَلَا بِذِكۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَئِنُّ ٱلۡقُلُوبُ ٢٨ 

“Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

(ar-Ra`du: 28)

Bunuh diri adalah dosa besar dan kezaliman yang paling kejam terhadap diri sendiri. Nyawa milik Allah dan Allah mengharamkan hambaNya membunuh diri melalui firmanNya:

وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِيمٗا ٢٩ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٰلِكَ عُدۡوَٰنٗا وَظُلۡمٗا فَسَوۡفَ نُصۡلِيهِ نَارٗاۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرًا ٣٠ 

“Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu. Dan sesiapa berbuat demikian atas dasar permusuhan dan kezaliman, maka Kami akan masukkan dia ke dalam api Neraka dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah.”

(an-Nisa`: 29-30)

Nabi Muhammad S.A.W memperingatkan:

مَنْ تَرَدَّى مِنْ جَبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ، فَهْوَ فِي نَارِ جَهَنَّمَ، يَتَرَدَّى فِيهِ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ تَحَسَّى سَمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ، فَسَمُّهُ فِي يَدِهِ، يَتَحَسَّاهُ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِحَدِيدَةٍ، فَحَدِيدَتُهُ فِي يَدِهِ، يَجَأُ بِهَا فِي بَطْنِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا

“Sesiapa yang sengaja terjun daripada bukit dan membunuh dirinya, akan jatuh di neraka ke dalam api dan kekal dalam keadaan tersebut; sesiapa yang meminum racun dan membunuh dirinya, dia akan membawa racun tersebut dengan tangannya dan meminumnya di neraka selama-lamanya; dan sesiapa yang membunuh dirinya dengan senjata besi, akan membawa senjata itu dan menusuk-nusuk perutnya di neraka selama-lamanya.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Semoga Allah selamatkan rakyat Malaysia khususnya umat Islam dari melakukan perbuatan yang membinasakan dan merugikan diri sendiri.

USTAZ SHAHRIL AZMAN ABD HALIM 
YDP PAS Kuala Krau – HARAKAHDAILY 30/6/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/219745198133003/posts/3996478110459674/

- Advertisement -