Tangguk kepah sehingga 1,000 kg sehari

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

KUALA KEDAH: Kepah antara spesies hidupan laut bercengkerang yang banyak diperolehi di muara sekitar Kuala Kedah.

Ia mudah membiak di musim panas dan mudah diperolehi antara Mac hingga Ogos.

Seorang penggemarnya, Azizi Abdullah berkata, beliau sanggup bersama rakan-rakannya ke laut menangkap hidupan itu.

- Advertisement -

“Waktu kemuncak kepah boleh ditangguk sehingga 1,000 kilogram sehari dan paling sikit pun antara 200 hingga 300 kilogram,” kata beliau.

Menurut Azizi, kepah dijual dengan harga RM2 sekilo dan mendapat sambutan memberangsangkan terutama daripada penggemar makanan laut.

Sunggupun begitu ujarnya, kehidupan laut itu kini semakin berkurangan ekoran berlaku limpahan air tawar beserta racun pertanian yang sering dilepaskan di muara berhampiran.

“Selalunya selepas bulan Ogos, kepah akan semakin berkurangan dan sebahagiannya mati bila tiba musim hujan.

“Tambahan pula, apabila pintu air empangan dibuka, limpahan air tawar dilepaskan ke muara,” tambahnya.

Kebanyakan nelayan di Kuala Kedah menangkap kepah menggunakan sangkar atau dipanggil tangguk yang diperbuat daripada steel.

Tangguk itu diikat pada sebatang kayu panjang untuk dijadikan pemegang sewaktu menangguk kepah.

“Kepah ini kaya dengan vitamin zink. Bermacam-macam masakan boleh dibuat dengan kepah ini.

“Sama ada masak lemak, kari atau bahan utama shellout.

“Tetapi bagi masyarakat Kuala Kedah, kepah ini biasanya direbus dan dicicah bersama air asam,” kata Azizi lagi. – HARAKAHDAILY 27/6/2021

- Advertisement -