Durian kampung perlu ada nilai tambah

- Advertisement -

DALAM satu minggu lagi durian Bukit Gantang mula luruh. Bukit Gantang duriannya lazat, bersaing dengan durian Larut. Ini nisbah kepada durian kampung.

- Advertisement -

Almarhum ayah saya, tidak minat tanam durian kahwin. Majoriti di tempat saya banyak tanam durian kampung. Tetapi mutaakhir ini adalah yang mengusaha “Musang King”.

Tak apa, saya bukan hendak bahas bab durian mana yang sedap dan baik. Cuma saya harapkan agensi pertanian kena cakna lebih untuk membantu pemasaran durian kampung supaya harga yang berpatutan.

Semasa saya menjadi Ahli Parlimen Bukit Gantang, saya bangkitkan beberapa kali mengenai pemasaran buah durian dan harga buah durian.

Waktu itu harga durian amat murah, satu bakul besar RM20 sahaja. Harga antara 30 sen hingga 50 sen sekilo. Kesian tengok orang kampung, kandar durian daripada bukit sampai melengkong badan-badan, dapat RM20 saja untuk satu bakul besar. Sedangkan di luar sana harga tetap RM5 sekilo.

Pada waktu itu, Datuk Seri Ismail Sabri, sebagai Menteri Pertanian saya minta harga lantai RM2 sekilo, tapi dia jawab kita letak RM1 dahulu lepas ini kita naikkan RM2 sekilo.

Saya mencadangkan juga supaya pihak Kementerian Pertanian melalui agensinya perlu memikirkan supaya harga durian tidak boleh dimonopoli oleh orang tengah. Boleh letak harga ikut kehendak mereka sahaja.

Sebagai contoh bila buah mula luruh RM8 sekilo, harga itu kekal dalam 2 hari sahaja, selepas itu harga turun menjunam. Pasaran di luar tetap harga sama antara RM15-RM17 sekilo.

Harga pula ikut gred kecil besar, sedangkan mereka jual di pasaran tidak ada gred, timbang tidak kira kecil atau besar sama sahaja harganya. Tidak mengapalah itu strategi peniaga.

Durian kampung tidak tahan lama, kalau buah yang luruh pagi, esoknya sudah pecah. Memang risiko kepada pemborong apabila membeli buah durian kampung.

Tidak hairan mereka membeli dengan harga yang murah daripada pekebun. Kalau buah tidak dapat dijual dalam masa sehari, maka terpaksa menanggung kerugian.

Oleh itu FAMA dan agensi pertanian yang lain boleh membeli buah durian untuk diproses isi dan disejukkan, ia menjadi nilai tambah. Tidak adalah alasan harga durian turun mendadak kerana lambakan buah, kerana buah tetap dibeli oleh agensi pertanian.

Secara tidak langsung memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat untuk bekerja di kilang memproses isi durian.

Isi durian boleh dibuat ais krim, creap, lempok, tempoyak. Masakan tempoyak merupakan menu harian di kedai makan di negeri Pahang dan Negeri Sembilan.

Ertinya penggunaan produk durian sepanjang masa apabila ia disejukkan. Semuanya ini tidak akan berhasil kalau proses dalam skala besar tidak di buat oleh agensi pertanian.

Inilah salah satu cara kerajaan boleh membantu pemilik durian kampung dan mengelak daripada orang tengah yang membeli dengan harga yang tidak berpatutan.

Kena perbanyakkan pusat pembelian durian oleh agensi pertanian di setiap tempat yang banyak dusun durian supaya memudahkan durian ini dijual. Kerajaan tidak boleh memikirkan untung semata-mata tetapi lebih kepada tanggungjawab sosial untuk membantu pemilik durian kampung.

HAJI IDRIS HAJI AHMAD
26/6/21. – HARAKAHDAILY 27/6/2021

- Advertisement -