Covid-19 ada vaksin, fitnah tiada vaksin

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa kecewa dengan sikap sebahagian masyarakat Malaysia yang lebih mudah menerima fitnah berbanding kempen vaksinasi yang dijalankan kerajaan.

Menurutnya, banyak usaha kerajaan tergendala akibat daripada halangan dan gangguan luar seperti anti-vaksin dan sebagainya.

- Advertisement -

“Saya hendak jawab dalam bahasa mudah. Dia masalah kita ini, virus Covid-19 kita sudah jumpa vaksin, tapi yang kita belum jumpa vaksin, tentang soal fitnah dan kempen-kempen negatif.

“Itu belum ada vaksin, ini yang jadi masalah kalau kempen daftar tak berapa berjaya, mungkin kerana ada anti-vaksin.

“Banyak usaha-usaha kerajaan tergendala kerana ada distraction dan sebagainya. Sekarang fitnah itu lebih mudah diterima oleh sebahagian masyarakat, letih kita.

“Saya pakai jam, sambil makan Maggie, pakai jam harga ratus-ratus ribu. Masya-Allah diviralkan begitu rupa. Selepas itu, keluar pula virus fitnah, saya kahwin artis. Lagi rancak, masya-Allah.

“Orang hantar tahniah kepada saya. Orang belum tanya lagi, mereka sudah percaya dahulu,” ujarnya dalam Bicara Harakah TV berjudul Mengurus Covid-19: Betul ke #kerajaangagal?’, malam tadi.

Ulasnya, vaksin Covid-19 merupakan sesuatu yang dicipta berdasarkan kajian dan sains, namun peliknya sesetengah pihak lebih percayakan kepada fitnah yang direka.

“Vaksin, benda berasaskan research, berasaskan sains orang tidak percaya, tapi buat cerita yang tiada asas di mana-mana, orang percaya.

“Saya dapati masyarakat kita kadangkala bila diserang virus tiada vaksin ini, kurang sikit daya ketahanan,” ujarnya.

Bagaimanapun kata Annuar, beliau tidak membiarkan anasir-anasir itu menggangu tugasnya untuk memastikan rakyat dan penduduk Wilayah Persekutuan menjayakan Program Immunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Alhamdulillah, untuk kita di sini. Kita tidak biarkan virus fitnah dan virus penghasut itu mengganggu kerja kita, rakyat pun menyambut baik seruan kita.

“Nasib kitalah orang politik, tetapi ini soal nyawa rakyat. Ini adalah satu jihad yang amat penting dalam hukum agama kita, soal menyelamatkan nyawa ini, ada satu benda yang terlalu amat penting, mesti diutamakan.

“Itulah satu tanggungjawab kerajaan, menjaga dan melindungi nyawa rakyat, itulah yang sedang kerajaan lakukan. Tahniah juga di Kedah. Semua berusaha supaya kita menang bersama,” ujarnya.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah mencapai 100 peratus sasaran pendaftaran vaksin pada Isnin lalu, manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya telah mencapainya pada 4 Jun.

Pencapaian Putrayaja itu menjadikan bandar tersebut sebagai bandar pertama yang mencapai pendaftaran vaksin 100 peratus, manakala Wilayah Persekutuan Labuan telah mencecah 80 peratus pendaftaran vaksin ketika ini..

“Ini menjadikan Wilayah Persekutuan secara keseluruhannya, masalah rakyat tampil mendaftar itu boleh dikatakan tidak lagi berbangkit. Tinggal lagi sekarang hendak melaksanakan pula suntikan.

“Itupun pada saya, pada saya langkah pertama bila sudah didaftarkan ramai lagi yang tidak faham, kenapa perlu didaftarkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2021

- Advertisement -