Oleh HAZIMAH LANUS
KALABAKAN: Ketua Penerangan PAS Sabah, Ahmad Dullah menyambut baik seruan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man agar semua ahli menjadi ejen penerangan parti.
Justeru, katanya semua ejen penerangan perlu cakna dengan isu-isu semasa dan terkini yang berlaku sama ada di persekitaran mahupun di peringkat negeri serta nasional.
“Selain itu, setiap maklumat yang hendak disampaikan kepada masyarakat itu perlulah sahih dan bukannya rekaan semata-mata supaya informasi yang diterima nanti itu telus,” ujarnya.
Baru-baru ini, Tuan Ibrahim dalam ucapan pada majlis penutupan Konvensyen Penerangan PAS Pusat menyatakan bahawa setiap ejen penerangan itu perlu menguasai setiap media yang ada dengan bahan-bahan penerangan yang sahih dan berkualiti.
Katanya, jentera penerangan khususnya media baharu digesa agar lebih bersedia dengan cabaran untuk menempuh era peperangan maklumat.
Beliau berkata, siapa yang berjaya menguasai media maklumat, pihak berkenaan akan menang.
“Jentera media baharu khasnya perlu bersedia untuk menyerang dan menerang kepada musuh. Zaman sekarang ini adalah zaman untuk membentuk gelombang menonjolkan kebaikan Islam,” ujarnya.
Justeru kata Ahmad, setiap ahli di semua peringkat perlulah menjadikan akhbar rasmi parti seperti Harakah bagi mendapatkan maklumat yang tepat untuk bacaan dan sebaran maklumat.
“Harakah ini adalah media rasmi parti. Sumber maklumat kita ini pun sudah semakin canggih dan mudah untuk kita akses. Kalau dahulu, hanya ada edisi cetak, tapi kini sudah ada edisi elektronik yang dinamakan sebagai HarakahDaily,” ujarnya lagi.
Oleh itu, kata beliau setiap ejen penerangan perlulah melanggan dan mendapatkan Harakah sama ada edisi cetak mahupun elektronik kerana setiap maklumat parti yang ada padanya pastinya sahih dan benar. – HARAKAHDAILY 24/6/2021