PKP 3.0: Jangan batasi hubungan sesama insan

Manfaatkan teknologi komunikasi dan perkhidmatan dalam aplikasi untuk terus membuat kebaikan bersama

HUBUNGAN sesama manusia tidak harus terbatas walaupun negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang mengenakan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP). Sebaliknya, kecanggihan teknologi komunikasi kini adalah kemudahan yang mesti dimanfaatkan lebih-lebih lagi dalam aspek hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan atau kejiranan.

Anak-anak yang tinggal menetap atau bekerja berjauhan dari ibu bapa terutamanya, tidak dapat balik kampung kerana larangan rentas negeri dan sebagainya. Tetapi panggilan video masih dapat mendekatkan yang kini kosnya sangat minimum. Ambil tahu perkembangan ibu bapa, jangan dibiar masa yang sukar dan keterbatasan kini menyebabkan mereka menjeruk rasa.

Advertisement

Gunakan kemudahan aplikasi yang banyak dalam telefon pintar hari ini untuk dapatkan khidmat penghantar barangan atau makanan. Buat pesanan di Foodpanda, GrabFood atau seumpamanya untuk menghantar barangan atau makanan kepada ibu bapa. Kalaupun tidak sebagai keperluan mereka, tetapi sekali sekala sebagai tanda ikatan dan mengerat kasih sayang.

Begitu juga terhadap rakan taulan kenalan yang berjauhan yang diketahui terjejas atau menghadapi himpitan hidup berikutan situasi sekarang mungkin kerana dibuang kerja atau kurang pendapatan. Apatah lagi jiran tetangga berdekatan yang diketahui mengalami keadaan sedemikian. Cuba bantu dengan cara pesanan melalui perkhidmatan penghantaran seperti ini untuk membantu mereka.

Ketika sama, lebihkan tips kepada para penghantar bermotosikal atau riders ini kerana mereka adalah adik-adik, anak-anak kita yang kebanyakannya masih muda remaja, tetapi positif untuk berdikari. Kesungguhan mereka mesti dimotivasikan, secara tidak langsung, kita mendapat pahala sedekah dan menunjukkan arah kebaikan dengan harapan dan doa mereka tidak terjebak dalam perkara sia-sia.

Tempoh ini juga ibu bapa perlu juga menjaga hubungan dengan para guru anak-anak mereka terutama dalam memastikan proses pembelajaran berlangsung lancar. Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) anak-anak sangat memerlukan sokongan ibu bapa agar mereka tidak keciciran. Terima kasih kepada para guru yang komited melaksanakan PdPR ini. Di sini jugalah peluang ibu bapa menyuntik lebih perhatian terhadap tahap kemampuan sebenar anak-anak.

Kerana dalam waktu bekerja selama ini kita sibuk dan seakan menyerahkan segalanya kepada para guru. Jadi kini ruang berinteraksi dengan guru untuk membangunkan akademik anak-anak. Keselesaan anak-anak mengikuti pembelajaran di rumah dengan perhatian dan bimbingan ibu bapa sebenarnya rangsangan tambahan paling kuat dalam pertumbuhan untuk berjaya di bidang akademik.

Keluarga juga perlu membanyakkan muhasabah dan keterbatasan sekarang ini dengan berada di rumah untuk memperbanyakkan amal ibadah secara bersama. Mengalunkan zikir, tadabbur al-Quran serta membuat pelbagai bacaan ilmiah lain dan mengadakan qiyamullail atau solat sunat, lebih-lebih lagilah solat fardhu berjamaah, mesti dijayakan di rumah ketika tempoh seperti ini.

Jika keluarga seperti ini, pasti tidak akan timbul laporan penderaan anak-anak atau isteri atau sebarang konflik rumah tangga seperti dilaporkan berlaku dalam tempoh seperti ini. Benar ada tekanan luar, tetapi keluargalah sepatutnya menjadi tempat rujuk dan balik paling tenang serta membantu. Pertimbangan yang betul penting agar kita tidak tersilap dan menjadi punca keadaan lebih buruk.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

USTAZAH SALAMIAH MOHD NOR
Naib Ketua Muslimat
Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 22/6/2021