Usah layan provokasi, hanya strategi musuh

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
PAS Kedah merakamkan tahniah dan penghargaaan di atas inisiatif Lajnah Penerangan dan Media Baru PAS Pusat menjayakan Konvensyen Penerangan dan Media Baharu pada 18 dan 19 Jun lalu.

Ketua Penerangan PAS negeri, Ustaz Mohd Azam Abdul Samat berkata, melalui program berkenaan banyak maklumat berguna dapat dikongsi oleh jentera penerangan seluruh Malaysia.

“Pengisiannya amat baik dan para peserta didedahkan dengan hala tuju yang amat jelas terutama untuk berhadapan peperangan alam maya,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

- Advertisement -

Selain itu ujarnya lagi, konvensyen itu juga memberi fokus kepada jentera penerangan agar peranannya sejajar sebagai penyambung lidah rasmi kerajaan dan parti.

Apatah lagi dalam dunia maya tanpa sempadan ini, rakyat di lapangan dihidangkan dengan pelbagai bahan berbentuk persepsi dan fitnah.

“Pembangkang menggunakan medan media baharu ini untuk menyampaikan berita-berita dan dakyah tidak benar berkenaan kerajaan dan PAS.

“Hal sedemikian bukan sahaja merosakkan pemikiran bahkan dibimbangi boleh menyebabkan penolakan undi terhadap PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” tambah Azam.

Justeru itu, beliau berharap strategi serta perancangan yang dilakukan oleh Lajnah Penerangan dan Media Baru PAS Pusat ini akan disambut baik dan dikembangkan hingga peringkat cawangan.

“Ia bukan sahaja sebagai jajaran gerak kerja yang lebih tersusun dan kemas malah mampu memantapkan lagi pengetahuan ahli dalam menghadapi ‘Perang Siber’ yang semakin rancak dan melelahkan ini,” ujar Adun Sungai Limau itu lagi.

Berikutan itu, katanya PAS Kedah telah menggariskan beberapa arahan kepada semua ahli untuk dilaksanakan.

Antaranya setiap jentera perlu berkongsi maklumat kerajaan dan parti di media sosial masing-masing setiap hari.

Selain itu, ujarnya menyemarakkan sebaran sumber maklumat kerajaan dan parti seperti Harakah, Harakahdaily, portal berita PAS serta kenyataan rasmi pimpinan kepada jiran, kenalan, kumpulan penduduk dan komuniti sekitar.

“Petugas juga perlu menghentikan sebarang bentuk perbalahan sesama ahli dan komuniti atas isu atau persepsi yang ditimbulkan di media.

“Hal itu akan dijawab oleh pimpinan sama ada parti atau kerajaan melalui sumber rasmi masing-masing,” katanya.

Ekoran itu kata Azam lagi, segala bentuk provokasi tidak perlu dilayan kerana ia dilihat hanya strategi musuh bagi mengalih isu serta menghilangkan fokus yang sepatutnya.

“Oleh itu marilah sama-sama kita kenang kembali kata-kata hikmah yang sering disebut iaitu “kebenaran yang tidak tersusun boleh dikalahkan oleh batil yang tersusun.

“Jadi, hidupkan kempen maklumat secara maya ini dengan hashtag #KitaAgenPenerangan sepertimana dilancarkan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man sewaktu ucapan penutup konvensyen penerangan itu Sabtu lalu,” ulas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 21/6/2021

- Advertisement -