Covid: 2,500 keluarga terima sumbangan PAS Kudat

- Advertisement -

Oleh SUZIANA GHANI

KUDAT:
Sebanyak 2,500 keluarga telah menerima sumbangan barangan keperluan dapur agihan Tabung Covid-19 PAS Kudat sejak tahun lalu.

Menurut Yang Dipertua PAS Kudat, Nemrone Loveh, sumbangan tersebut diagihkan kepada masyarakat sekitar yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Katanya, sasaran utama kutipan sumbangan itu untuk disalurkan kepada mereka yang terjejas teruk terutamanya di kawasan yang telah diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

“PAS Kudat meneruskan misi kebajikan dengan mengagihkan sumbangan kepada masyarakat sekitar Kudat yang terjejas akibat penularan pandemik Covid 19,” katanya.

Semalam, sebanyak 23 keluarga sekitar Tanjung Kapor menerima barangan dapur berbentuk beras, tepung, susu, minyak, telur dan gula.

Katanya, PAS Kudat telah melancarkan Tabung Bencana Covid-19 dua minggu lepas sebagai tanda prihatin kepada masyarakat yang terkesan akibat penularan wabak ini.

“Sebanyak 2,500 keluarga telah menerima sumbangan barangan keperluan dapur semasa agihan Tabung Covid 1.0 dan 2.0 sejak pandemik ini bermula pada tahun lepas.

“Keluarga yang dikuarantin, asnaf, fakir miskin, ibu tunggal dan masyarakat yang hilang sumber pendapatan antara mereka yang akan menerima sumbangan ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Program Tabung Covid-19 PAS Kudat, Masdin Bayogoh berkata, bantuan itu akan disampaikan secara berperingkat bergantung kepada dana yang diperolehi.

Masdin turut menyeru masyarakat mematuhi segala arahan dan saranan pihak kerajaan bagi membendung penularan wabak berjangkit itu.

“Kepada siapa yang belum mendaftar vaksin, sila daftar segera kerana vaksin adalah satu cara pencegahan penyakit yang berfungsi dengan merangsang sistem imuniti badan bagi melindungi diri kita daripada jangkitan,” ujarnya yang juga Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kudat itu.

Tabahnya, bagi mereka yang mahu menyumbang boleh menghubunginya di talian 019-8415 002 atau terus disalurkan ke akaun Maybank, PASTI Al-Furqon 5600 6305 6547. – HARAKAHDAILY 22/6/2021

- Advertisement -