Kempen vaksinasi berhasil, penerima vaksin rasa yakin

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Sambutan masyarakat Kedah kepada vaksinasi Covid-19 semakin meningkat dan mendapat sambutan memberangsangkan.

Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Wan Romani Wan Salim berkata, ini menunjukkan kempen kerajaan ke arah kepentingan mengambil vaksin telah membuahkan hasil.

“Rata-rata penerima vaksin yang saya temui, merasa yakin dan tidak takut lagi untuk disuntik,” kata beliau ketika lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, semalam. Wan Romani diiringi Timbalan Pengarah (Pengurusan) HSB, Wan Ahmad Fazli Wan Khamis dan Ketua Penyelia HSB, Mohd Subhi Abdul Ghani sepanjang lawatan itu.

- Advertisement -

Menurutnya lagi, kebanyakan rakyat kini sudah menyedari kepentingan untuk menjadi penerima vaksin yang bermatlamat memutuskan rantaian Covid-19 yang semakin menular sejak kebelakangan ini.

Sebelum ini, kempen daftar vaksin secara aktif oleh Jabatan Penerangan Negeri (JPN) Kedah dengan kerjasama petugas kesihatan turun ke kampung-kampung untuk menjayakan program vaksinasi.

Malah, sambutan luar biasa dari penduduk Kedah menyebabkan PPV terpaksa menghadkan jumlah penerima dalam satu-satu masa.

Menurut Pembantu Tadbir Bilik Gerakan HSB, Hazariah Khazali, pihak hospital hanya mampu menerima maksimum 600 orang penerima vaksin sahaja sehari.

Ini berikutan kekangan ruang fasiliti sementara kakitangan yang bertugas hanyalah 60 orang sahaja.

“Sambutan semakin meningkat tetapi PPV di sini (HSB) hanya mampu menerima 600 penerima vaksin dalam sehari selain ruang dan kakitangan bertugas yang agak terhad,” ujar beliau.

Sempena lawatan itu, Wan Romani turut menyampaikan sumbangan peribadi beserta pek makanan tengah hari kepada para petugas berkenaan.

Pek makanan tersebut sumbangan daripada Dewan Muslimat PAS Pokok Sena. Ketua Dewan Muslimat PAS kawasan, Ustazah Mekiah Shamsudin turut hadir.– HARAKAHDAILY 22/6/2021

- Advertisement -