Allah tidak beratkan hamba-Nya melainkan yang terdaya

- Advertisement -

SEORANG peniaga kecil yang saya temui di sini pada minggu lepas, ada memaklumkan, beliau menerima purata bantuan RM500 sebulan sehingga kini tanpa gagal. Saya berasa tertarik dan terus bertanya dari mana datangnya bantuan sebegitu.

Katanya, pada Jun 2020, beliau telah menerima sebanyak RM3,000 terus ke akaun bank melalui Geran Khas Prihatin (GKP). Tahun ini pula, beliau menerima lagi bantuan GKP Tambahan pada Mac 2021 sebanyak RM1,000.

- Advertisement -

Terkini, awal Jun baru ini, masuk lagi ke akaunnya bantuan sebanyak RM1,000. Saya congak, dalam masa setahun, betullah bantuan yang diterima beliau dari siri PENJANA, PERMAI dan PERKASA berjumlah RM5,000.

Belum sempat saya respons, beliau sambung, ‘Ustaz! Bulan depan masuk lagi baki RM500, GKP 3.0 ini dapat RM1,500 semuanya’. Alhamdulillah, RM5,500 rupanya. Itu sahaja yang saya mampu ucapkan melihat kegembiraan beliau yang masih bersemangat berniaga dan mencari rezeki seperti biasa.

Bersyukurlah akan nikmat Allah

Pada April 2021, gelombang kedua COVID-19 negara, saya sampaikan bantuan kewangan kepada 220 penerima di kawasan saya. Fokus ketika itu ialah, peniaga-peniaga yang tercicir bantuan GKP.

Antaranya yang tidak mendaftarkan perniagaan. Tiada SSM. Tidak berdaftar dengan LHDN. Tiada akaun bank. Golongan ini diberi perhatian utama sambil diberi nasihat untuk mendaftarkan perniagaan secara online.

Namun demikian, memandangkan nama mereka tiada dalam rekod SSM, mereka tersenarai dalam Bantuan Prihatin Rakyat mengikut jumlah isi rumah. Begitu juga dengan mereka yang bujang.

Jujur dalam menilai. Bantu beri jawapan

Sahabat Facebooker boleh bantu menjawab isu-isu bantuan yang diberikan baik dari Persekutuan mahupun negeri, dengan membuat sedikit carian di internet. Kata kunci mudah seperti ‘Bantuan COVID-19 Kelantan’ boleh ditaip. Insya-Allah. Banyak jawapan dan infografik yang ada.

Berpuluh juta ringgit telah dibelanjakan untuk rakyat di Kelantan. Bermula dari keluarga yang terlibat kuarantin dan positif COVID-19, frontliners, sehinggalah bantuan one-off tambahan kepada pejawat awam di Kelantan.

Nikmat mempunyai telefon pintar dan talian internet yang aktif untuk membaca tulisan saya ini, harus sama-sama kita syukuri dan manfaatkan untuk perkara kebaikan. Masih ramai lagi mereka yang lebih memerlukan. Bantu maklum kepada saya melalui penghulu-penghulu dan pusat khidmat. Kita sama-sama bantu.

“Kita Jaga Kita”
“Kelantan Prihatin”

Khamis lalu, Dato’ Bentara Kanan mengumumkan Pakej Bantuan Cakna Rakyat COVID-19 Fasa 2 berjumlah RM2.25 juta untuk peniaga kecil.

Pengumuman ini bukanlah bermakna, peniaga besar dan yang bukan berniaga disisihkan. Semuanya ada saluran bantuan tersendiri melalui pelbagai agensi. Bahkan sebelum COVID-19 melanda lagi. Bantuan keperluan barangan dapur tidak pernah terhenti kepada yang sangat memerlukan. 

Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan kita semua daripada sesuatu yang Allah berikan sebagai ujian kepada kita. Semoga Allah memberikan kemuliaan kepada kita semua.

YB DATO’ MOHD AMAR ABDULLAH
Pondok Tok Ayah Kedah, Kelantan Darul Naim – HARAKAHDAILY 22/6/2021

- Advertisement -